Oleh : Nurdiyanah Rajami
Foto : Ihsan Nadi Quranic Learning Centre Tutong
TUTONG, Selasa, 18 Ogos. - Nadi Quranic Learning Centre Tutong dengan sokongan Jabatan Belia dan Sukan, Cawangan Daerah Tutong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) baru-baru ini telah mengadakan program ‘Pewaris Khatamul Anbiya : Membentuk Insan Bertakwa, Membina Ummah Mulia’ bertempat di Pusat Belia Tutong.
Program yang dianjurkan bersempena Sambutan Maulidur Rasul antaranya bermatlamat untuk memupuk golongan kanak-kanak dan remaja supaya mengenali, mencintai dan menghayati sirah serta sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam seterusnya mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
Seramai 26 orang terdiri daripada golongan kanak-kanak dan remaja lingkungan usia 7 hingga 15 tahun telah menyertai program yang berlangsung seawal 8 pagi hingga 3 petang.
Sebanyak enam aktiviti utama telah disediakan yang bukan sahaja menyeronokkan, malah sarat dengan nilai pendidikan, penghayatan sirah, sunnah dan akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Salah satu aktiviti utama yang dijalankan ialah The Pewaris Trail, iaitu aktiviti berbentuk Amazing Race yang menggabungkan empat buah checkpoint iaitu Archery Skills, Whisper Challenge, Sirah Puzzle dan Prophetic Memory.
Antara aktiviti lain yang dimuatkan sepanjang program berlangsung ialah ‘The Great Tale of Wisdom’ merupakan sesi penceritaan interaktif yang mengetengahkan kisah-kisah teladan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam; Video Challenge, iaitu cabaran kepada peserta untuk menghasilkan video atau sketsa pendek yang bertemakan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam; dan DIY Tote Bag memberikan peluang kepada peserta untuk berkarya secara kreatif dengan menghasilkan rekaan bertemakan nilai-nilai Islam.
Dengan adanya pelbagai pendekatan aktiviti yang lebih interaktif dan santai berkenaan, ia sememangnya bertujuan bagi membolehkan para peserta mempelajari dan menghayati ajaran Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan cara yang sesuai dengan peringkat usia mereka.
Menerusi pelaksanaan program berkenaan, Nadi Quranic Learning Centre Tutong berharap ia dapat menjadi satu langkah kecil yang mampu memberikan kesan yang besar dalam membentuk generasi yang mencintai Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, menghayati sunnah Baginda dan mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian, seterusnya menjadi insan bertakwa dan menyumbang kepada pembentukan ummah yang mulia.