Berita dan Foto : Ihsan Gabungan Pasukan Brunei Youth Rugby Tour 1977
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 7 November. – Gabungan daripada Bekas Pelajar Pasukan Rugby Pusat Tingkat Enam (PTE) Jalan Muara dan Bekas Pelajar Pasukan Rugby Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOAS) serta Bekas Pasukan Brunei Youth Rugby Tour 1977 telah mengadakan Acara Pertemuan Semula, baru-baru ini.
Acara yang diadakan di salah sebuah restoran di kawasan Bandar Seri Begawan itu bertujuan untuk mempereratkan lagi hubungan silaturahim dan ikatan persahabatan yang telah terjalin sejak tahun 1977 lagi di antara pasukan-pasukan berkenaan.
Mengimbau kembali semasa aktif menjalankan sukan tersebut, bekas-bekas pelajar pernah bergabung dan terpilih untuk menjadi satu pasukan iaitu Brunei Rugby Youth Team Tour 1977 dan buat julung kalinya telah dihantar ke Singapura bersama pasukan daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei ketika itu dan dibiayai oleh pihak kerajaan.
Ketika di Singapura, Brunei Rugby Youth Team Tour 1977 berpeluang untuk menyaksikan beberapa perlawanan sekali gus beraksi dalam sukan berkenaan khususnya dalam perlawanan bersama St. Andrew School dan St. Raffles Institute serta American International School, Singapore.
Pembabitan mereka dalam sukan tersebut adalah bertujuan untuk mencari, meningkatkan lagi ilmu dan pengalaman khususnya di peringkat antarabangsa apatah lagi ketika itu Pasukan Brunei Rugby Youth Team Tour 1977 buat pertama kali ditubuhkan.
Acara Pertemuan Semula pernah diadakan buat pertama kali pada tahun 2024 dan penganjuran kali kedua buat tahun ini menandakan 50 tahun ikatan dan hubungan di antara mereka masih lagi terjalin erat dan harmoni.
Semasa acara tersebut diadakan, para bekas pelajar mengimbau kembali kenangan-kenangan lama dan seterusnya memperbaharui serta mempereratkan lagi hubungan persahabatan antara mereka malah apa yang menarik dalam Acara Pertemuan Semula yang kedua ini, menampilkan mantan-mantan pemain daripada Pasukan PTE Jalan Muara pada tahun 1976, 1977 dan 1978.
Selain itu, acara tersebut turut menampilkan mantan-mantan pasukan yang terdiri daripada bekas pelajar Maktab SOAS pada tahun 1975 dan 1976.
Acara Pertemuan Semula ini adalah diharapkan dapat terus giat diadakan pada masa-masa yang akan datang sekali gus bersama-sama bertukar-tukar pandangan dan buah fikiran bagi merancang hala tuju Persatuan Rugby Brunei sama ada dalam peringkat belia, sekolah malah di peringkat veteran.
Semoga dengan adanya perbincangan dan perancangan tersebut akan dapat memajukan lagi mutu dan kualiti ragbi khususnya di Negara Brunei Darussalam sama ada di peringkat sekolah dan persatuan serta di peringkat pasukan kebangsaan.