Pertandingan Sukan Memanah galak warga emas kekal aktif

21 Okt 2026 - 5:27am

Oleh : Siti Rokiah Abdullah

Foto : Siti Rokiah Abdullah, Ihsan HOHA

LAMBAK KANAN, Selasa, 20 Oktober. - Dalam usaha menggalakkan warga emas agar sentiasa cergas, sihat dan aktif melalui kegiatan sukan, Pertandingan Sukan Memanah bagi Ahli-ahli Pusat Kegiatan Warga Emas Daerah Brunei dan Muara (PKWE DBM) telah diadakan pagi tadi di Dewan Kemasyarakatan Lambak 2, Jalan 77.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan pertandingan berkenaan ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Türkiye ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Profesor Dr. Hamit Ersoy.

Pertandingan tersebut merupakan aktiviti sukan memanah pertama kali diperkenalkan kepada Ahli-ahli PKWE DBM dan dirancang untuk dilaksanakan secara berterusan. Inisiatif berkenaan bukan sahaja bertujuan menggalakkan warga emas menjalani gaya hidup aktif dan sihat, malah diharap dapat mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat setia kawan dalam kalangan ahli.

Pada majlis tersebut, tetamu kehormat memulakan pertandingan dengan melakukan acara memanah, yang kemudian diikuti oleh Pengurus Pusat Akademi Ar Rafi Archery, Pengiran Haji Ratno bin Pengiran Haji Md. Tahir.

Seramai 20 peserta yang terdiri daripada 10 peserta lelaki dan 10 peserta wanita, kesemuanya Ahli PKWE DBM, menyertai pertandingan berkenaan yang dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Perseorangan Lelaki dan Perseorangan Wanita.

Bagi Kategori Perseorangan Lelaki, Awang Haji Sufian bin Haji Masri muncul juara, manakala tempat kedua disandang oleh Awang Haji Yakub bin Haji Hitam dan tempat ketiga oleh Awang Merzani bin Haji Ramli.

Sementara itu, bagi Kategori Perseorangan Wanita, Dayang Salbiah binti Mohd Salleh muncul juara, diikuti Dayang Hajah Marjani binti Haji Munir di tempat kedua dan Dayang Hajah Subariah binti Haji Ibrahim di tempat ketiga.

Awang Haji Sufian bin Haji Masri turut dinobatkan sebagai Peserta Terbaik Keseluruhan bagi Kategori Lelaki, manakala Dayang Salbiah binti Mohd. Salleh menerima pengiktirafan yang sama bagi Kategori Wanita.

Penyampaian hadiah-hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh wakil Presiden Pemanah, Awang Haji Mohammad Yussof bin Haji Abd. Rahman.