Majlis Konvokesyen IBTE raikan 1,924 graduan

21 Okt 2026 - 5:37am

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid, Marlinawaty Hussin

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BERAKAS, Selasa, 20 Oktober. - Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan sahaja menyediakan kemahiran untuk memasuki alam pekerjaan, malah membuka ruang kepada generasi muda untuk mengembangkan potensi diri, mencetuskan idea serta menyumbang kepada industri dan masyarakat.

Oleh itu, nilai TVET tidak seharusnya diukur semata-mata melalui kelayakan yang diperoleh atau pekerjaan yang diceburi oleh para graduan. Sebaliknya, nilai sebenar turut terserlah melalui keupayaan mereka untuk mengaplikasikan ilmu dan kemahiran untuk menyelesaikan masalah, meningkatkan mutu kerja serta menghasilkan idea dan pendekatan baharu yang membawa manfaat kepada orang lain.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Pemangku Pengarah Pendidikan Teknik, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Kementerian Pendidikan, Awang Haji Norjemee bin Jenek semasa Majlis Konvokesyen IBTE Kali Ke-34 yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, pagi tadi.

Menurut beliau, inilah antara perkara yang menjadikan pendidikan TVET begitu bermakna - ilmu dan kemahiran yang dipelajari bukan sekadar untuk dikuasai, tetapi untuk dimanfaatkan dalam situasi sebenar, selaras dengan keperluan industri, masyarakat dan pembangunan negara.

Kongsi beliau, IBTE melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh pendidikan TVET, antaranya Inisiatif Solar yang memberikan pendedahan praktikal kepada para pelajar mengenai teknologi Solar Photovoltaic (Solar PV), termasuk asas sistem, pemasangan, pengendalian, keselamatan dan penyelenggaraan. Inisiatif tersebut turut membantu membangunkan kemahiran yang relevan dengan sektor tenaga serta menyokong penggunaan tenaga lestari.

Selain itu tambahnya, penganjuran Action Research Showcase bertemakan ‘Action Research in TVET : Industry-Relevant & Green Skills’ menggalakkan penyelidikan dan inovasi yang memberikan tumpuan kepada keperluan industri, pembangunan mampan serta amalan pengajaran inovatif. Inisiatif berkenaan turut memperkukuh pendekatan pengajaran dan pembelajaran berasaskan bukti serta penerapan kemahiran hijau.

“Sementara itu, ISEED, platform pembelajaran elektronik yang mengintegrasikan pendidikan kemampanan dengan transformasi digital, memperluas peluang pembelajaran dalam bidang kemampanan, literasi digital, literasi Kecerdasan Buatan dan teknologi baharu bagi mempersiapkan para pelajar menghadapi perkembangan teknologi serta keperluan masa hadapan,” jelas beliau.

IBTE meraikan seramai 1,924 graduan sempena Majlis Konvokesyen Kali Ke-34 yang diadakan dalam dua sesi, iaitu sesi pagi melibatkan 1,099 graduan dan manakala bagi sesi petang seramai 825 graduan.

Majlis berkenaan mengiktiraf pencapaian para pelajar yang menamatkan program TVET masing-masing. Para graduan terdiri daripada enam kategori kelayakan, iaitu Sijil Akademi TVET, Level 5 Diploma, Higher National Technical Certificate (HNTec), National Technical Certificate (NTec), Industrial Skills Qualification (ISQ) dan Level II Apprenticeship.

Hadir pada sesi pagi ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh dan Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Antara anugerah yang disampaikan pada sesi pagi ialah Best Teacher TVET Trainee Award, Academic Excellence Award, STARS Excellence Award dan Chinese Ambassador Award.

Manakala hadir selaku tetamu kehormat pada sesi petang ialah Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab dan Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian sijil kepada para graduan daripada pelbagai sekolah dan program di IBTE serta penyampaian anugerah khas bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang dan kecemerlangan akademik.

Daripada jumlah 825 graduan yang menerima sijil pada sebelah petang, seramai 749 pelajar menerima Sijil Kebangsaan Pendidikan Teknikal (NTec), manakala 63 graduan menerima Sijil Kelayakan Kemahiran Perindustrian (ISQ) dan 13 graduan menerima Sijil Perantisan Tahap II.

Selain penyampaian sijil, sesi petang turut menyaksikan penyampaian Academic Excellence Award dan STARS Excellence Award bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang graduan.

Majlis Konvokesyen IBTE Kali Ke-34 merupakan pencapaian penting bagi para graduan untuk melangkah ke fasa seterusnya, sama ada dalam bidang pekerjaan, pembangunan profesional mahupun pembelajaran sepanjang hayat.

Kejayaan mereka turut mencerminkan peranan penting TVET dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran dan berkompetensi bagi menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja serta kemajuan Negara Brunei Darussalam.