Memacu transformasi perbendaharaan melalui AI

21 Okt 2026 - 5:25am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Ihsan Jabatan Perbendaharaan

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 20 Oktober. - Jabatan Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, dengan kerjasama PEMNA Sekretariat menganjurkan Mesyuarat 2026 Public Expenditure Management Network in Asia (PEMNA) Treasury Community of Practice (T-CoP) Brunei Darussalam  bermula hari ini hingga Khamis, 22 Oktober di Radisson Hotel, di ibu negara.

Mesyuarat dirasmikan oleh Pemangku Setiausaha Tetap (Fiskal), Kementerian Kewangan, Awang Muhammad Azizil Hakim bin Haji Brahim, selaku tetamu kehormat.

Turut hadir ke majlis tersebut, Pemangku Jurukira Agung, Pengiran Hajah Normaswati binti Pengiran Anak Haji Mashor, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja bagi Mesyuarat 2026 PEMNA T-CoP Brunei Darussalam.

Mesyuarat telah diadakan secara hibrid dengan mengumpulkan 80 peserta terdiri daripada pegawai-pegawai kanan perbendaharaan dari Negara Brunei Darussalam, Republik Rakyat China, Republik Indonesia, Republik Korea, Republik Demokratik Rakyat Lao, Malaysia, Mongolia, Republik Filipina, Thailand, Republik Demokratik Timor-Leste dan Republik Sosialis Viet Nam beserta wakil-wakil dari  Kumpulan Bank Dunia (World Bank Group).

Tema mesyuarat ‘Use of Artificial Intelligence (AI) for a Smarter Treasury for Enhanced Service Delivery’ telah mengongsikan kefahaman mengenai aplikasi AI dalam fungsi, operasi dan proses kerja perbendaharaan.

Antara lainnya mesyuarat juga memfokuskan kepada penggunaan AI dalam peramalan dan analisis aliran tunai sebagai sebahagian daripada pengurusan tunai; penggunaan AI dalam penyediaan laporan dan analisis kewangan; serta penggunaan AI dalam  pemprosesan pembayaran.

PEMNA telah ditubuhkan pada tahun 2012 dan berperanan sebagai platform bagi memudah cara perkongsian pengetahuan, pengalaman serta amalan terbaik dalam bidang pengurusan kewangan awam iaitu belanjawan, perbendaharaan dan hasil.

Melalui PEMNA, negara-negara anggota berpeluang untuk bertukar-tukar pandangan, berkongsi pengalaman secara langsung serta membincangkan pelbagai isu berkaitan pengurusan kewangan awam.