Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 17 Oktober. - Pusat Sejarah Brunei (PSB), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Bahagian Pusat Pengkajian Borneo dengan kerjasama Persatuan Sejarah Brunei (PESEBAR) menganjurkan Program Menyuluh Sejarah Brunei Siri Ke-8 Tahun 2026 yang diadakan di Bangunan Pusat Pengkajian Borneo, Kampung Anggerek Desa, Berakas.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan sijil kepada para pembentang ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), KKBS, Dr. Dayang Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.
Bertemakan 'Sumber Sejarah: Kunci Memahami Masa Silam', Siri Ke-8 kali ini menampilkan dua orang pembentang daripada generasi muda yang akan mengetengahkan hasil kajian masing-masing.
Para pembentang terdiri daripada Yang Amat Mulia Pengiran Anak Hamlatul Arsy Mulia binti Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Dayang Siti Zaviera Jayn binti Haji Julahi.
Sementara itu, Pengiran Dr. Amal Bazilah binti Pengiran Haji Abdul Mobeen berperanan selaku moderator.
Program Menyuluh Sejarah Brunei merupakan program ilmiah sejarah yang mula dianjurkan pada tahun 2021 oleh PSB, KKBS, dengan kerjasama PESEBAR.
Program ini bertujuan menjadi wadah bagi generasi muda untuk berkongsi hasil kajian serta mengetengahkan penyelidikan yang komprehensif dan mendalam mengenai sejarah Brunei dan Borneo.
Program diakhiri dengan sesi penyampaian sijil dan sesi bergambar.
Melalui penganjuran ini, PSB berharap agar usaha tersebut dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dan penghayatan sejarah dalam kalangan generasi muda, di samping melatih mereka untuk berfikiran kritis dan analitikal serta menghasilkan penemuan-penemuan baharu dalam bidang sejarah.
Majlis turut dihadiri oleh pengarah-pengarah, para pensyarah, pegawai dan kakitangan dari sektor kerajaan dan swasta, ahli akademik, mahasiswa dan mahasiswi dari institusi-institusi tinggi dari dalam dan luar negara serta para pencinta dan peminat sejarah.