Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kewangan
BANGKOK, THAILAND, Sabtu, 17 Oktober. - Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, telah menghadiri Mesyuarat Tahunan International Monetary Fund dan World Bank Group (IMF-WBG) 2026 yang berlangsung pada 12 hingga 18 Oktober 2026 di Bangkok, Thailand.
Turut hadir pada permesyuaratan tersebut ialah Pengarah Urusan Brunei Darussalam Central Bank, Dayang Hajah Rashidah binti Haji Sabtu.
Semasa Mesyuarat Tahunan IMF-WBG 2026, Yang Berhormat Menteri Kewangan II, menyertai Menteri-Menteri Kewangan dan wakil ASEAN yang lain dalam dialog peringkat tinggi bersama IMF dan WBG.
Sesi tersebut antara lain mengukuhkan kerjasama bersama institusi selaras dengan integrasi ASEAN, memanfaatkan modal swasta WBG, dan memajukan keutamaan dasar IMF bagi peningkatan kedayatahanan.
Yang Berhormat mengetengahkan teras utama bagi transformasi serantau termasuk memajukan kesalinghubungan digital serantau dan integrasi pembayaran rentas sempadan, disokong oleh IMF dan WBG dalam pengurusan kesan Kecerdasan Buatan (AI) serta gangguan teknologi kepada makroekonomi dan fiskal.
Yang Berhormat Menteri Kewangan II, juga menyeru agar kerjasama dengan IMF diperkukuh melalui pertukaran teknikal dan perkongsian pengetahuan, di samping memanfaatkan kepakaran WBG bagi meningkatkan keupayaan serantau dalam ekonomi digital, daya tahan rantaian bekalan, dan menarik pelaburan.
Di luar persidangan, Yang Berhormat juga mengadakan perbincangan dua hala dengan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Thailand, Tuan Yang Terutama Ekniti Nitithanprapas, mengenai peningkatan kerjasama kewangan dan pelaburan antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Thailand merentasi beberapa teras termasuk meneroka pembaharuan Memorandum Persefahaman yang telah ditandatangani antara Agensi Pelaburan Brunei dan Dana Pencen Kerajaan Thailand pada tahun 2024; memastikan kedayatahanan agromakanan bagi melindungi keselamatan makanan domestik; dan menjalinkan kerjasama antara Bank Islam Thailand dengan institusi-institusi NBD bagi latihan tenaga kerja, inovasi produk, dan penjajaran modal merentas sempadan.
Perjumpaan dua hala yang berasingan turut diadakan bersama Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Menteri Kedua Kewangan dan Menteri Kedua Pembangunan Negara Singapura, Puan Yang Terutama Indranee Rajah; Menteri Kewangan II Malaysia, Yang Berhormat Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, dan Menteri Keuangan Indonesia, Tuan Yang Terutama Suahasil Nazara.
Perbincangan semasa perjumpaan ini tertumpu kepada peningkatan kerjasama kewangan bersama, kemampanan ekonomi rentas sempadan, dan tindak balas dasar bersama terhadap cabaran makro-fiskal serantau.
Yang Berhormat juga mengadakan perbincangan dengan Naib Presiden WBG bagi Asia Timur dan Pasifik serta International Finance Corporation, Felipe Jaramillo, dalam meneroka kerjasama yang lebih mendalam melalui pembangunan sektor swasta serta kedayatahanan fiskal dan ekonomi.
Secara berasingan, Yang Berhormat turut menyertai roundtable peringkat tinggi mengenai AI and State Capacity: Governing and Delivering in the Global South yang meneliti cara-cara AI dapat mengukuhkan fungsi teras negara termasuk pentadbiran hasil, pengurusan kewangan awam, perolehan, peraturan, penyampaian perkhidmatan, dan tindak balas krisis.