Mini Festival 1K1P, hasil pertanian perkasa usahawan MPK

18 Okt 2026 - 7:40am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi

Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas

LIMAU MANIS, Sabtu, 17 Oktober. - Usaha memperkasa pengusaha program Satu Kampung Satu Produk (1K1P) dan hasil pertanian, di samping merangsang pertumbuhan ekonomi masyarakat di peringkat akar umbi, menjadi tumpuan penganjuran Mini Festival 1K1P dan Hasil Pertanian anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Limau Manis dan Kuala Lurah.

Festival yang julung-julung kali diadakan itu berlangsung di alamat No. 31, Simpang 125, Kampung Kuala Lurah Limau Manis, Ketua Biro Keceriaan dan Sukan MPK Limau Manis.

Perasmiannya disempurnakan oleh Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim. Hadir sama ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, Ketua Kampung Putat; Penghulu Mukim Pengkalan Batu, Awang Haji Ar'fan bin Haji Mohd Yussof serta ketua-ketua kampung di bawah mukim berkenaan.

Penganjuran festival bersempena penubuhan MPK Limau Manis dan Kuala Lurah bagi penggal 2024-2028 itu mengetengahkan pelbagai produk dan hasil keluaran komuniti tempatan, sekali gus membuka ruang kepada para pengusaha untuk memperkenalkan produk masing-masing kepada orang ramai.

Sebanyak 16 vendor mengambil bahagian, menawarkan pelbagai jualan yang merangkumi komoditi pertanian, buah-buahan, makanan serta hasil kraf tangan daripada MPK Kampung Bebuloh.

Penyertaan penduduk Kampung Limau Manis dan Kuala Lurah, bersama vendor jemputan dari Kampung Bebuloh, turut mencerminkan semangat kerjasama dan sokongan antara komuniti dalam memajukan kegiatan keusahawanan setempat.

Dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Kampung Limau Manis dan Kuala Lurah, Awang Firdaus bin Haji Gapar, selaku Pengerusi MPK berkenaan, merakamkan penghargaan dan menjunjung kasih kepada Pegawai Daerah Brunei dan Muara atas kesudian hadir dan merasmikan festival tersebut.

Awang Firdaus menekankan bahawa kejayaan penganjuran berkenaan terhasil daripada kerjasama dan semangat bergotong-royong penduduk kampung, selain sokongan pelbagai pihak yang sama-sama membantu menjayakan acara itu.

Selain itu, Awang Firdaus turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Daerah Brunei dan Muara atas bantuan menyediakan kemudahan seperti meja dan kerusi, serta kepada Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Wasan yang meminjamkan peralatan bagi kegunaan festival.

Menurutnya, MPK Limau Manis dan Kuala Lurah juga menerima sumbangan berbentuk barangan dan keperluan (in-kind) daripada Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Hua Ho Sdn. Bhd. serta pihak-pihak lain.

Beliau turut menghargai sumbangan tenaga dan buah fikiran ahli-ahli MPK, jawatankuasa kerja festival, ketua-ketua biro, penduduk kampung dan golongan belia yang aktif membantu memastikan kelancaran acara berkenaan.

Sebelum mengakhiri ucapan, Awang Firdaus sekali lagi merakamkan penghargaan kepada tetamu kehormat, Yang Berhormat Ahli MMN, penghulu, ketua-ketua kampung, jawatankuasa penganjur, para peserta dan semua pihak yang memberikan sokongan terhadap penganjuran festival berkenaan.

Beliau turut menghargai kesediaan penduduk kampung untuk menyertai festival itu, yang menjadi antara usaha bersama dalam mengukuhkan perpaduan dan memajukan ekonomi masyarakat setempat.

Penganjuran Mini Festival 1K1P dan Hasil Pertanian itu bertujuan memperkasa pengusaha 1K1P serta pengusaha hasil pertanian, di samping menggalakkan kegiatan keusahawanan dan mengembangkan ekonomi komuniti di peringkat akar umbi.

Platform seumpama itu diharap dapat memberikan peluang kepada pengusaha tempatan untuk memasarkan produk, memperluas rangkaian pelanggan serta meningkatkan potensi produk kampung agar lebih dikenali masyarakat.