Siaran Akhbar : Kementerian Kewangan
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 8 November. - Kementerian Kewangan melalui Bahagian Hasil, dengan kerjasama Sekretariat Public Expenditure Management Network in Asia (PEMNA) akan menganjurkan Mesyuarat 2026 PEMNA Revenue Community of Practice (CoP) Brunei Darussalam pada Selasa, 10 November 2026 hingga Khamis, 12 November 2026, di salah sebuah hotel di ibu negara.
Bertemakan 'Strengthening Revenue Administration through Compliance, Data and Strategic Planning', mesyuarat berkenaan akan menjadi platform khusus bagi pentadbir-pentadbir hasil daripada negara-negara anggota PEMNA dan organisasi antarabangsa untuk berkongsi pengalaman, membincangkan cabaran bersama serta meneroka pendekatan bagi meningkatkan perkhidmatan pembayar cukai dan pematuhan cukai secara sukarela.
Mesyuarat tersebut juga akan mengetengahkan penggunaan data dan unjuran hasil bagi menyokong penambahbaikan dasar dan pentadbiran. PEMNA telah ditubuhkan pada 2012, manakala PEMNA Revenue CoP telah dilancarkan pada Oktober 2025 dan pada masa ini dipengerusikan oleh Pengarah Undang-Undang, Dasar Percukaian dan Kerjasama Percukaian Antarabangsa, Jabatan Am Percukaian, Kementerian Ekonomi dan Kewangan, Kemboja, Dr. Cheaseth Seng.
Negara-negara yang dijemput untuk menghadiri mesyuarat kali ini ialah NBD, Kemboja, Republik Rakyat China, Republik Indonesia, Republik Korea, Republik Demokratik Rakyat Lao, Malaysia, Mongolia, Republik Filipina, Thailand, Republik Demokratik Timor-Leste dan Republik Sosialis Viet Nam, selain Kesatuan Eropah (EU), Kumpulan Bank Dunia (World Bank Group) dan International Monetary Fund (IMF).
PEMNA berperanan sebagai platform bagi memudah cara perkongsian pengetahuan, pengalaman serta amalan terbaik dalam bidang pengurusan kewangan awam, iaitu belanjawan, perbendaharaan dan hasil.
Melalui PEMNA, negara-negara anggota berpeluang untuk bertukar-tukar pandangan, berkongsi pengalaman secara langsung serta membincangkan pelbagai isu berkaitan kewangan awam.
Sejak mesyuarat pertama PEMNA Revenue CoP pada 2025, NBD telah mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti dan inisiatif yang dilaksanakan di bawah platform tersebut sebagai usaha berterusan Kementerian Kewangan untuk memperkasa pentadbiran hasil, mengukuhkan kapasiti institusi dan melestarikan sistem pengurusan kewangan awam yang mampan serta responsif terhadap keperluan semasa.