Naz Asri juara Pertandingan Peringkat Akhir Bintang Harmoni

18 Okt 2026 - 7:36am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Azmah Haji Ahad

BERAKAS, Ahad, 17 Oktober. - Naz Asri muncul juara pada Pertandingan Peringkat Akhir Bintang Harmoni dengan lagu ‘Bahagiamu, Deritaku’, sekali gus membawa pulang wang tunai sebanyak BND2,000 berserta trofi, sijil dan penginapan di bilik Deluxe termasuk sarapan untuk dua orang, sumbangan The Radisson Hotel Brunei Darussalam.

Manakala, naib juara pula menjadi milik Hamizan menerusi lagu ‘Awan Yang Terpilu’. Beliau membawa pulang wang tunai sebanyak BND1,500 berserta trofi, sijil dan penginapan di bilik Superior termasuk sarapan untuk dua orang, sumbangan hotel berkenaan.

Sementara itu, Nurul Mustapha menduduki tempat ketiga menerusi lagu ‘Tiada Aku Mengerti’ dan menerima wang tunai sebanyak BND1,000 berserta trofi, sijil dan baucar makan sumbangan The Radisson Hotel Brunei Darussalam.

Naz Asri turut merangkul anugerah Persembahan Terbaik, sekali gus membawa pulang wang tunai sebanyak BND300 berserta trofi dan sagu hati pula membawa pulang wang tunai sebanyak BND500 berserta sijil.

Hadir selaku tetamu kehormat seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Jabatan Perdana Menteri, Awang Ajman bin Haji Meludin.

Pertandingan Peringkat Akhir Bintang Harmoni 2026 anjuran Radio Televisyen Brunei (RTB) yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas itu menyaksikan seramai 10 peserta berentap bagi merebut gelaran juara.

Bintang Harmoni yang sebelum ini dikenali sebagai Bintang Radio mula dianjurkan pada tahun 1960 dan merupakan salah satu daripada usaha berterusan RTB untuk mendukung industri seni tanah air serta mengangkat bakat-bakat tempatan.

Turut hadir, Pemangku Pengarah RTB, Awang Cheong Chee Keong, pegawai-pegawai kanan RTB dan wakil-wakil syarikat penaja serta orang ramai.