Siaran Akhbar dan Foto : Brunei Darussalam Arbitration Centre
REPUBLIK SINGAPURA, Jumaat, 6 November. - Brunei Darussalam Arbitration Centre (BDAC) dan Singapore Institute of Arbitrators (SIArb) telah memeterai kerjasama strategik melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menggalakkan amalan timbang tara dan kaedah penyelesaian pertikaian lain yang bersesuaian, menyokong pembangunan profesional serta menggalakkan perkongsian ilmu pengetahuan, kepakaran dan amalan terbaik.
MoU berkenaan telah ditandatangani oleh Hakim Mahkamah Perantaraan, Yang Arif Radin Safiee bin Radin Mas Basiuni, merangkap Pengerusi BDAC dan Presiden SIArb, Andrew Pullen.
Majlis Menandatangani MoU berkenaan turut disaksikan oleh tetamu kehormat, Head of The Arbitration Chambers, Profesor Lawrence Boo; dan Ketua Pegawai Eksekutif Interim BDAC, Awang Omsarule bin Haji Awang Omar.
MoU berkenaan menyediakan satu rangka kerja bagi kerjasama dan perkongsian maklumat antara kedua-dua institusi, tertakluk kepada undang-undang, peraturan, garis panduan dan dasar di negara masing-masing.
Di bawah kerjasama berkenaan, BDAC dan SIArb akan meneroka peluang untuk menganjurkan program latihan timbang tara, bengkel, seminar dan inisiatif pembangunan profesional bagi mereka yang berminat untuk meningkatkan pengetahuan profesional dan meneroka peluang kerjaya dalam bidang timbang tara.
Inisiatif berkenaan bertujuan untuk membina kepakaran tempatan, memperkukuh kemahiran profesional serta menggalakkan penyertaan yang lebih meluas dalam bidang timbangtara.
Kerjasama berkenaan juga akan membuka peluang bagi pertukaran tenaga pengajar, penceramah dan pakar dalam bidang berkaitan, di samping perkongsian ilmu pengetahuan, pengalaman dan amalan terbaik antara kedua-dua institusi.
Melalui kerjasama berkenaan, BDAC dan SIArb berhasrat untuk memperkukuh kerjasama serantau dan hubungan antara institusi, menyokong pembangunan pengamal timbang tara tempatan serta menyumbang kepada kemajuan bidang timbang tara dan bentuk penyelesaian pertikaian alternatif di rantau ini.
Turut hadir pada majlis berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif SIAC, Gloria Lim; Ahli-ahli Majlis dan Jawatankuasa SIArb; pengamal undang-undang; para hakim; Setiausaha Korporat BDAC, Awang Haji Muhammad Abdul Raafe’ bin Haji Ibrahim; dan Pegawai Eksekutif Kanan BDAC, Awang Khairunnazim bin Abiddin.