MIB memperkukuh jati diri, menyatukan generasi merentas zaman

18 Nov 2026 - 9:28am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BERAKAS, Selasa, 17 November. - Seminar Majlis Ilmu 2026 merupakan antara wadah perkongsian ilmu dalam memperkukuh penghayatan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) sebagai tonggak kedaulatan negara, di samping menyemarakkan budaya ilmu dan kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab bersama dalam memelihara identiti Negara Brunei Darussalam (NBD).

Sidang Ketiga Seminar Majlis Ilmu 2026 yang bertema ‘MIB Memperkukuh Jati Diri, Menyatukan Generasi Merentas Zaman’ diteruskan lagi petang tadi membincangkan kepentingan penghayatan nilai-nilai MIB dalam pembentukan akhlak, pendidikan dan jati diri generasi muda, khususnya dalam menghadapi cabaran era digital dan perubahan sosial.

Hadir selaku tetamu kehormat, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.

Sebanyak tiga kertas kerja dibentangkan dalam sidang tersebut terdiri mantan Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB), Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman yang mengetengahkan kertas kerja bertajuk ‘Adab dalam Era Digital: Memperkukuh Identiti dan Akhlak Generasi MIB’.

Dalam pembentangannya, Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Zohrah menggariskan statistik pengguna digital global, penggunaan digital platform daripada kalangan pelbagai generasi serta kesan kepada gejala kesihatan mental dan keterhubungan.

Juga diketengahkan bagaimana era komunikasi digital saling berhubung dengan adab, akhlak dan MIB melalui Maqasid Syariah dan cabaran-cabaran seperti pertuturan dan penulisan dalam berkomunikasi yang tidak beradab adalah berpunca dari tiga faktor utama iaitu pengaruh rakan sebaya, terikut dengan kemewahan dan kebebasan bersuara serta siber buli yang berleluasa.

Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Zohrah juga mengingatkan bahawa demi memperkukuh kelestarian MIB dengan kawalan dan kewaspadaan adalah perlunya pendidikan dari keluarga, sokongan dari institusi pendidikan, kewaspadaan mengenai adab berkomunikasi, dan akta serta garis pandu penggunaan platform media perlu diketengahkan.

Sementara kertas kerja bertajuk ‘Islam Sebagai Teras MIB: Memelihara Pegangan, Menyatukan Generasi’ disampaikan oleh Penolong Mufti (Ifta’), Jabatan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Dennie bin Haji Abdullah.

Dalam pembentangannya, Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Dennie mengetengahkan tiga persoalan dalam memperkukuh Islam sebagai teras MIB serta bagaimana Islam memelihara pegangan MIB melalui empat ajaran Islam yang utama iaitu tujuan hidup dalam Islam, akidah dalam membentuk pegangan dan keyakinan, syariah dan akhlak dalam membimbing tindakan dan tingkah laku dan prinsip amanah, keadilan, kemaslahatan dan tanggungjawab bersama.

Manakala profesor di Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam, Profesor Dr. Awang Haji Asbol bin Haji Mail menghuraikan kertas kerja bertajuk ‘MIB: Pendidikan dan Warisan Sejarah dalam Membina Kedayatahanan Belia Brunei’.

Dalam pembentangannya, Profesor Dr. Awang Haji Asbol menumpukan perbincangan falsafah MIB serta peranannya dalam membina kedayatahanan belia di NBD dihubungkan dengan aspek pendidikan dan warisan sejarah.

Juga dikongsikan dasar-dasar kerajaan dalam rancangan membangun negara tidak boleh tersasar dari falsafah ini kerana ia terus digenggam erat dengan petunjuk dan reda Allah agar sentiasa berusaha memperoleh ketenteraman dan keselamatan, kebajikan serta kebahagiaan hidup rakyat sepanjang zaman.

Profesor Dr. Awang Haji Asbol juga menjelaskan beberapa komponen berkaitan seperti komponen Islam dalam falsafah MIB yang merupakan satu agama suci dan satu agama rahmatan lil ‘alamin iaitu satu agama membawa rahmat ke seluruh alam diturunkan Allah Subhanahu Wata’ala melalui wahyu ke atas para rasul.

Setiap sidang turut diikuti dengan sesi soal jawab yang dikendalikan oleh moderator, sekali gus memberi peluang kepada para peserta untuk mendapatkan penjelasan lanjut serta bertukar pandangan mengenai isu-isu yang dibincangkan.

Seminar petang tadi dihadiri oleh seramai 320 orang yang terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan dan sektor swasta, ahli akademik, penyelidik, guru-guru, para belia, mahasiswa dan mahasiswi, pelajar-pelajar serta masyarakat umum.  

Melalui perkongsian ilmu dan perbincangan yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan bernegara, seminar ini turut menekankan kepentingan memastikan nilai-nilai MIB terus difahami, diamalkan dan diwarisi oleh generasi masa kini dan akan datang.

Penganjuran seminar ini memberikan peluang kepada para peserta untuk memperluas pengetahuan dan meningkatkan kefahaman serta penghayatan terhadap falsafah MIB, khususnya peranannya dalam memelihara kestabilan, perpaduan dan kedaulatan negara.

Majlis Ilmu 2026 akan diteruskan dengan Majlis Forum di keempat-empat daerah bermula dengan Forum Majlis Ilmu Daerah Belait di Dewan Persidangan Kuala Belait pada 19 November 2026; Forum Majlis Ilmu Daerah Brunei dan Muara di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa pada 23 November 2026; Forum Majlis Ilmu Daerah Tutong di Dewan Ma’had Islam Brunei pada 26 November 2026; dan Forum Majlis Ilmu Daerah Temburong di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Temburong pada 28 November 2026.