MIB benteng jati diri, persediaan generasi pelapis hadapi cabaran masa depan

13 Nov 2026 - 7:24am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji SulaimanFoto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin

BERAKAS, Khamis, 12 November. - Tema Majlis Ilmu 2026 iaitu ‘Melayu Islam Beraja : Tonggak Kedaulatan Negara’ amat bersesuaian pada masa ini bagi memastikan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) terus relevan sebagai pegangan dan amalan hidup rakyat Negara Brunei Darussalam (NBD), terutamanya generasi pelapis yang akan menerajui negara.

Ini termasuk dalam mendepani pelbagai ancaman dan cabaran dari luar seperti globalisasi, kemajuan teknologi, pengaruh budaya asing serta ajaran agama yang terpesong.

Perkara tersebut ditekankan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu dalam sembah alu-aluannya pada Forum Perdana Majlis Ilmu 2026 sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun, yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Menurut Yang Berhormat, keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di JPM ke forum berkenaan setentunya menyerikan lagi majlis.

“Dengan tema Majlis Ilmu ini, insyaaAllah akan dapat memupuk kasih dan sayang serta semangat taat setia yang tidak berbelah bagi kepada raja dan negara yang dikasihi; sambil meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat tentang tanggungjawab mengamalkan konsep MIB dan seterusnya membentuk generasi pelapis yang berilmu; beriman; bertakwa dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa depan,” sembah Yang Berhormat yang juga selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Forum Perdana Majlis Ilmu 2026.

Mengulas lebih lanjut, Yang Berhormat menyifatkan tema tersebut secara keseluruhannya berfungsi sebagai ‘perlindungan’ serta ‘persediaan’.

“Perlindungan yang dimaksudkan adalah memastikan jati diri dan nilai-nilai kebruneian kekal teguh di tengah pergolakan pengaruh luar. Manakala persediaan pula bermaksud mengenal pasti cabaran masa kini dan akan datang lebih awal lagi, agar generasi pelapis dapat menghadapinya dengan berpaksikan falsafah MIB,” sembah Yang Berhormat lagi.

Oleh yang demikian, Yang Berhormat sembah menegaskan bahawa falsafah MIB sewajarnya terus diperkasa dan dipertahankan dari generasi ke generasi.

Dalam hubungan ini, Yang Berhormat menyembahkan keyakinan bahawa dengan berlandaskan MIB sebagai pegangan hidup, NBD, insyaaAllah akan sentiasa dilimpahi dengan keberkatan, kemakmuran dan kesejahteraan.