Menyuntik semangat saudara baharu terus istiqamah menuntut ilmu agama

18 Nov 2026 - 9:35am

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid

Foto : Mohammad Hasif Matzin

TUNGKU, Selasa, 17 November. - Selain skim bimbingan ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Pusat Da'wah Islamiah (PDI) turut menyediakan beberapa program lain bagi memastikan pembelajaran ugama dapat diteruskan secara berterusan.

Antaranya ialah Kelas Bimbingan Ugama yang dikhususkan kepada saudara-saudara baharu, yang diadakan di 19 buah pusat di keempat-empat daerah. Kelas tersebut diadakan seminggu sekali dengan bimbingan 30 tenaga pengajar, merangkumi pembelajaran Iqra, Al-Quran, Tarannum serta ilmu asas Fardu Ain.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan selaku tetamu kehormat majlis semasa berucap pada Majlis Konvokesyen Skim Bimbingan Muallaf Kali Ke-4 Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung pagi tadi di Dewan Serbaguna, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Katok.

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan bahawa terdapat juga Program Tarbiyah Sepanjang Hayat dengan skim-skim bimbingannya yang komprehensif. Ada pula Program Lawatan Tarbiyah Mualaf, iaitu lawatan terus ke rumah saudara-saudara baharu untuk mengikuti perkembangan keislaman mereka, di samping membimbing amalan Fardu Ain secara lebih dekat dan peribadi.

"Di Bangunan Pusat Da'wah Islamiah sendiri, Program Semasa berbentuk Tarbiyah diisi dengan pelbagai kursus, Bengkel Ibadat Sembahyang dan Ibadat Haji serta ceramah dan tazkirah sempena Hari-hari Kebesaran Islam," jelas Yang Berhormat.

Kesemua program tersebut ujar Yang Berhormat, memberi peluang untuk memperkukuh kefahaman akidah, ibadah dan akhlak mengikut tahap pembelajaran serta keperluan masing-masing.

Yang Berhormat seterusnya mengingatkan kepada para peserta agar tidak berhenti atau berpuas hati dengan ilmu yang telah diperoleh. Majlis Konvokesyen yang diadakan bukanlah penamat kepada pengajian, sebaliknya para peserta hendaklah terus mendalami ilmu dan meningkatkan amalan berugama sepanjang hayat dengan berguru kepada guru-guru, ustaz dan ustazah serta merujuk kepada sumber yang berautoriti dan muktabar.

"Namun dalam masa yang sama, berhati-hatilah dengan kandungan media sosial yang tidak diketahui puncanya supaya kita tidak terkeliru dengan ajaran atau fahaman yang menyimpang.

"Dalam pada itu, peliharalah keharmonian hidup berkeluarga dan berjiran tetangga, khususnya dengan mereka yang masih berlainan anutan ugama. Memeluk Islam tidak sekali-kali memutuskan kasih sayang dan tanggungjawab terhadap ibu bapa serta kaum keluarga. Malah, akhlak yang baik terhadap mereka itulah dakwah yang paling berkesan," ujar Yang Berhormat lagi.

Yang Berhormat turut menegaskan bahawa tanggungjawab menjaga dan membimbing saudara-saudara baharu bukanlah terpikul di bahu PDI atau KHEU semata-mata. Sebaliknya, ia menuntut keazaman saudara-saudara baharu itu sendiri untuk cekal dan tidak jemu-jemu mendalami ilmu ugama, di samping sokongan padu daripada ahli keluarga terdekat.

Menurut Yang Berhormat, ia juga menuntut peranan seluruh masyarakat, termasuk para majikan dengan memberi ruang kepada mereka untuk menghadiri kelas. Jemaah masjid dan jiran tetangga pula berperanan menyantuni mereka serta menjauhi prasangka agar saudara-saudara baharu sentiasa berasa diterima, dialu-alukan dan disayangi sebagai sebahagian daripada masyarakat.

Membimbing seorang saudara baharu jelas Yang Berhormat, bukan sekadar memastikan mereka sempurna melafazkan dua kalimah syahadah, bahkan proses bimbingan itu sebenarnya bermula selepas itu.

Sehubungan itu, Yang Berhormat menyeru PDI supaya program bimbingan mualaf yang sedia ada dilaksanakan dengan lebih giat dan lebih tersusun. Maklum balas peserta hendaklah diperoleh dan keberkesanan program dinilai secara berkala bagi memastikan kandungan, kaedah pengajaran dan bentuk sokongan sentiasa menepati keperluan saudara-saudara baharu.

"Bahan-bahan pembelajaran juga perlu terus disemak agar lebih tersusun, mudah difahami dan bersesuaian dengan latar belakang serta tahap pembelajaran peserta.

"Lebih penting lagi, impaknya perlu diukur secara objektif : berapa ramai yang memeluk ugama Islam setiap tahun, berapa ramai yang menyertai bimbingan, berapa ramai yang menamatkannya dan sejauh mana mereka mampu mendirikan sembahyang serta membaca Al-Quran. Dengan angka itulah kita tahu di mana kekuatan kita dan di mana yang perlu dibaiki," jelas Yang Berhormat.

Seramai 150 mualaf telah menerima sijil pada majlis berkenaan yang terdiri daripada 49 orang dari Daerah Brunei dan Muara, 31 orang dari Daerah Belait, 48 orang dari Daerah Tutong dan 22 orang dari Daerah Temburong.

Kesemua penerima tersebut berjaya menamatkan Skim Bimbingan Lanjutan II pada September yang lalu.

Majlis konvokesyen berkenaan diadakan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada para mualaf yang telah berjaya menamatkan Skim-skim Bimbingan Mualaf anjuran Bahagian Pembangunan Muallaf (Tarbiyah Muallaf), PDI, dengan kerjasama Cawangan Da'wah di daerah-daerah.

Selain itu, majlis tersebut juga bertujuan menghargai komitmen para peserta dalam mengikuti program-program bimbingan yang disediakan.

Atur cara majlis dimulakan dengan perarakan masuk para peserta konvokesyen, diikuti dengan bacaan Sayyidul Istighfar secara beramai-ramai serta bacaan Surah Al-Fatihah oleh Awang Sulhi bin Abdullah Sapin@Sulih bin Sapih, peserta Skim Bimbingan Lanjutan II dari Daerah Belait.

Sejurus selepas itu, Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, 'Allah Peliharakan Sultan', dinyanyikan secara beramai-ramai.

Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Al-Kahfi ayat1 hingga 10 oleh peserta Skim Bimbingan Lanjutan II dari Daerah Tutong, Dr. Muhd. Rieo Syafi'i bin Salor; manakala inti sari serta pengajaran daripada ayat-ayat tersebut dibacakan oleh peserta Skim Bimbingan Lanjutan II dari Daerah Temburong, Dayang Nurul Ayuni binti Ahmad Bukhari.

Atur cara seterusnya ialah pengumuman Hadiah Peserta Terbaik Keseluruhan Skim Bimbingan Muallaf oleh Ketua Bahagian Pembangunan Muallaf, PDI, Pengiran Hajah Ida Fariani binti Pengiran Haji Kamaluddin.

Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian sijil kepada para peserta konvokesyen serta penyampaian hadiah kepada peserta-peserta terbaik bagi Skim Bimbingan Asas Muallaf (bahasa Melayu), Skim Bimbingan Asas Muallaf (bahasa Inggeris), Skim Bimbingan Lanjutan I dan Skim Bimbingan Lanjutan II yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

Majlis turut diserikan dengan persembahan lagu 'Insan Rabbani' oleh gabungan tenaga pengajar dari keempat-empat daerah.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dipimpin oleh Awang Habib Azhari bin Raya, peserta Skim Bimbingan Lanjutan II dari Daerah Brunei dan Muara.

Dengan adanya majlis seumpama itu, adalah diharapkan agar dapat menyuntik semangat dan motivasi kepada para peserta untuk terus istiqamah dalam menuntut ilmu agama. Selain itu, ia juga diharapkan dapat memperkukuh keyakinan diri para peserta untuk terus mempelajari, menghayati dan mengamalkan ajaran Islam, di samping mengeratkan lagi silaturahim sesama mualaf dari keempat-empat daerah.