Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
Foto : Azmah Haji Ahad
BELAIT, Selasa, 18 Ogos. - Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia merupakan aktiviti tahunan yang disambut pada setiap bulan Ogos bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penyusuan susu ibu serta isu-isu berkaitan dengannya.
Pada tahun ini, tema bagi Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia ialah 'Penyusuan Susu Ibu Demi Permulaan Kehidupan Yang Mampan : Memperkukuh Amalan Yang Berkesan' (Breastfeeding for a Sustainable Start in Life : Strengthen What Works). Tema ini memfokuskan kepada usaha memperkasakan amalan penyusuan susu ibu secara eksklusif dan berterusan demi kesejahteraan generasi masa hadapan. Antara objektif sambutan tersebut adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penyusuan susu ibu dan menggalakkan penyusuan susu ibu secara eksklusif sehingga enam bulan.
Seterusnya, memperkukuhkan sokongan keluarga, tempat kerja dan komuniti terhadap amalan penyusuan susu ibu dan meningkatkan pengetahuan serta kemahiran kakitangan kesihatan dalam pengurusan penyusuan susu ibu.
Hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia bagi Daerah Belait yang diadakan di Dewan Kuliah, Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait, di sini, ialah isteri Pemangku Pegawai Daerah Belait, Dayang Hajah Yuria Abyana binti Haji Ahmad.Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Ketua Guru Ugama, Awang Haji Md. Ali Omar.
Pegawai Jururawat Ketua Bahagian Obstetrik dan Ginekologi Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait, Dayang Roziah binti Haji Mohammad Alli dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan dalam memastikan amalan penyusuan susu ibu dapat diteruskan dengan baik, kita menyedari bahawa perjalanan setiap ibu adalah berbeza.
Jelasnya, ada ibu yang melalui pengalaman yang mudah, manakala ada juga yang menghadapi pelbagai cabaran, khususnya pada peringkat awal selepas bersalin. Oleh itu, sokongan yang berterusan amat penting.
"Sokongan tersebut bukan sahaja datang daripada petugas kesihatan, tetapi juga daripada suami, ahli keluarga, majikan, rakan sekerja, komuniti dan masyarakat. Khususnya, peranan seorang bapa tidak boleh dipandang ringan," ujar beliau lagi.Seorang bapa katanya, boleh memberikan sokongan emosi, membantu urusan harian di rumah, memberi galakan kepada isteri dan membantu mewujudkan suasana yang positif supaya ibu lebih yakin untuk meneruskan penyusuan susu ibu.
Acara diteruskan dengan Ceramah Sempena Program Penyusuan Susu Ibu, yang disampaikan oleh dua penceramah jemputan iaitu Pegawai Perubatan Pusat Promosi Kesihatan, Dr. Dayang Faezah binti Dato Haji Mohd. Amin dan Kaunselor Laktasi, Milking at Ease, Dayang Nabilah binti Haji Taif.
Aktiviti lain seperti mini pameran, kuiz kesihatan serta kaunter konsultasi laktasi serta demonstrasi mengenai teknik dan posisi penyusuan susu ibu yang betul. Mini Pameran tersebut diadakan di Lobi Blok Perempuan dan Kanak-kanak, Aras Bawah, Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait.
Orang ramai dialu-alukan hadir bagi memeriahkan aktiviti-aktiviti ini yang akan diadakan mulai pukul 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Turut hadir, isteri Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman, Dayang Hajah Jamaiyah binti Haji Abd. Hamid serta pegawai dan kakitangan Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait.