Siaran Akhbar dan Foto : Majlis Perundingan Mukim Berakas ‘B’
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 17 November. – Sebanyak tiga buah keluarga di Kampung Sungai Orok dan Kampung Sungai Hanching, Mukim Berakas ‘B’, menerima kunjungan menerusi Program Sentuhan Ihsan : Menyantuni Komuniti yang diadakan pada hari ini.
Program berkenaan merupakan salah satu inisiatif kemasyarakatan Majlis Perundingan Mukim (MPM) Berakas ‘B’ dalam usaha memperkukuh kesejahteraan penduduk, khususnya keluarga yang memerlukan perhatian dan sokongan.
Selain menyampaikan sumbangan berupa barangan makanan asasi, program tersebut turut melaksanakan kaji selidik bagi mengenal pasti keadaan sosioekonomi, cabaran kehidupan serta keperluan sebenar keluarga yang disantuni.
Pelaksanaan kaji selidik berkenaan adalah susulan daripada saranan Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, semasa Sesi Muzakarah Bersama Penghulu-penghulu Mukim dan Ketua-ketua Kampung bagi Zon 3, Zon 4 dan Zon 5, Daerah Brunei dan Muara, pada minggu lalu.
Kaji selidik tersebut bertujuan mendapatkan gambaran yang lebih menyeluruh mengenai keadaan keluarga penerima bantuan, termasuk faktor-faktor yang mempengaruhi kebergantungan kepada bantuan, cabaran yang dihadapi serta potensi dan keupayaan mereka untuk meningkatkan taraf kehidupan.
Maklumat yang diperoleh dihasratkan dapat dijadikan asas kepada Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung (PMKK) dalam mengenal pasti bentuk sokongan, bimbingan serta tindakan susulan yang lebih bersasar, termasuk melalui kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan pihak-pihak berkepentingan.
Hadir menyertai program berkenaan, Penghulu Mukim Berakas ‘B’, Awang Haji Syed Mohd. Yassin bin Haji Syed Anayatullah Shah; dan Pemangku Ketua Kampung Sungai Hanching dan Salambigar, Awang Mohamad Sukairi bin Haji Abd. Rahman.
Program Sentuhan Ihsan yang membawa slogan ‘Keprihatinan Menghidupkan Harapan’ turut memberikan penekanan kepada pendekatan turun padang bagi mendekati masyarakat, memahami permasalahan penduduk serta mengenal pasti langkah-langkah yang bersesuaian dalam membantu meningkatkan kesejahteraan keluarga.
Melalui pendekatan berkenaan, usaha membantu golongan yang memerlukan bukan sahaja tertumpu kepada penyampaian sumbangan, malah turut memberikan perhatian kepada tindakan susulan yang berterusan bagi membolehkan keluarga terbabit meningkatkan keupayaan untuk berdikari.
Inisiatif seumpama berkenaan diharap dapat terus memperkukuh kerjasama antara kepimpinan akar umbi, agensi kerajaan dan masyarakat dalam membentuk komuniti yang prihatin, berdaya tahan serta saling membantu.