Memperkasa tadbir urus kerajaan melalui Digital Brunei 2030

18 Nov 2026 - 8:03am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 17 November. - Kementerian Kewangan melalui Bahagian Belanjawan di Pejabat Belanjawan dan Rancangan Kemajuan Negara (RKN) dengan kerjasama Sekretariat PEMNA telah menganjurkan Mesyuarat 2026 PEMNA Budget CoP Brunei Darussalam selama tiga hari bermula 17 hingga 19 November 2026, bertempat di Radisson Hotel, di ibu negara, di sini.

Mesyuarat tersebut telah dirasmikan oleh tetamu kehormat, Setiausaha Tetap (Fiskal), Kementerian Kewangan, Awang Ajman bin Haji Meludin.

Awang Ajman dalam ucapan alu-aluannya berkata, walaupun teknologi berupaya meningkatkan mutu analisis dan menyokong proses membuat keputusan, namun teknologi tidak dapat menggantikan pertimbangan yang wajar, pengurusan yang bertanggungjawab serta kebertanggungjawaban.

Jelasnya lagi, tanggungjawab terhadap setiap keputusan yang melibatkan kepentingan awam hendaklah kekal dipikul oleh pihak yang telah diamanahkan untuk berkhidmat demi kepentingan rakyat.

“Bagi Negara Brunei Darussalam (NBD), pendekatan ini adalah berpandukan Wawasan Brunei 2035, yang menggariskan tiga matlamat utama, iaitu rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya; kehidupan rakyat yang berkualiti tinggi dan ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.

“Merealisasikan aspirasi tersebut memerlukan perancangan yang teliti dan berdisiplin, pengurusan fiskal yang berhemah serta penggunaan sumber-sumber awam secara strategik. Dalam usaha memperkukuh kedudukan kewangan awam negara, setiap perbelanjaan yang dibuat mestilah menyumbang ke arah pencapaian Wawasan Brunei 2035.

“Disiplin fiskal bukanlah penghalang kepada aspirasi kita, malah merupakan asas yang memastikan aspirasi tersebut dapat dicapai secara mampan,” katanya lagi.

Beliau seterusnya berkata bagi mendukung aspirasi ini, kita sedang memperkukuh asas ke arah sebuah kerajaan yang diperkasakan secara digital melalui Digital Brunei 2030, iaitu hala tuju digital negara yang memberikan penekanan khusus terhadap tadbir urus data, inovasi digital serta penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) secara bertanggungjawab. Dalam masa yang sama, kita juga berusaha mendekatkan belanjawan kepada rakyat melalui dua inisiatif baharu yang diperkenalkan pada tahun ini.

Inisiatif pertama katanya lagi, ialah ‘Belanjawan Kitani’, iaitu belanjawan rakyat yang menyediakan kefahaman yang lebih jelas dan mudah diakses oleh orang ramai mengenai bagaimana sumber-sumber awam dirancang, diperuntukkan dan digunakan bagi menyokong keutamaan negara.

Inisiatif kedua pula jelasnya, ialah laman sesawang Belanjawan Negara yang baharu, di mana orang ramai boleh memuat turun Belanjawan Rakyat serta mengemukakan pandangan dan maklum balas secara langsung kepada pihak kami mengenai belanjawan dan keutamaan negara. Dengan cara ini, suara dan pandangan rakyat dapat membantu membentuk belanjawan pada masa hadapan. Seperti yang tersirat pada namanya, Belanjawan Negara adalah milik kita bersama.

Awang Ajman menjelaskan perjalanan reformasi yang dilaksanakan masih berterusan dan sememangnya terdapat banyak perkara yang boleh kita pelajari antara satu sama lain. Kami mengalu-alukan peluang untuk berkongsi pengalaman serta mendengar pandangan dan cadangan daripada para hadirin.

“Inilah nilai yang dibawa oleh sebuah komuniti amalan (Community of Practice). Selain menjadi wadah pertukaran ilmu pengetahuan dan amalan terbaik, komuniti ini turut memupuk jaringan profesional yang berasaskan kepercayaan, menggalakkan pembelajaran sesama rakan sejawat serta membolehkan kita mengenal pasti penyelesaian praktikal terhadap cabaran bersama dalam bidang fiskal dan tadbir urus,” ujarnya lagi.

Mesyuarat telah diadakan secara hibrid dengan mengumpulkan seramai 60 peserta terdiri daripada pegawai-pegawai kanan kerajaan daripada pelbagai kementerian dan jabatan dari NBD, Republik Filipina, Republik Indonesia, Kemboja, Republik Korea, Republik Demokratik Rakyat Lao, Malaysia, Mongolia, Thailand, Republik Demokratik Timor-Leste, dan Republik Sosialis Viet Nam berserta wakil-wakil dari Kumpulan Bank Dunia (World Bank Group) dan rangka-kongsi pembangunan lain.

Tema mesyuarat ‘Digitalization and the Use of Artificial Intelligence (AI) for Better Fiscal Outcomes’ mengongsikan kefahaman mengenai penggunaan teknologi digital dan AI dalam memperkukuh pengurusan kewangan kerajaan dan meningkatkan keberkesanan hasil fiskal.

Mesyuarat antara lainnya memfokuskan kepada trend global dan serantau mengenai Pengurusan Kewangan Awam (PFM) digital serta penggunaan alat digital dalam kalangan negara anggota PEMNA, dalam penyediaan dan pelaksanaan belanjawan; data ‘analytics’ bagi melaksanakan analisis terhadap perbelanjaan kerajaan dan kajian semula perbelanjaan (spending reviews) serta permanfaatan teknologi digital untuk meningkatkan ketelusan fiskal, akauntabiliti dan penglibatan rakyat melalui teknologi digital.

PEMNA telah ditubuhkan pada 2012 dan berperanan sebagai platform bagi memudah cara perkongsian pengetahuan, pengalaman serta amalan terbaik dalam pengurusan kewangan awam, iaitu dalam bidang belanjawan, perbendaharaan dan pengutipan hasil.

Melalui PEMNA, negara-negara anggota berpeluang untuk bertukar-tukar pandangan, berkongsi pengalaman secara langsung serta membincangkan pelbagai isu berkaitan pengurusan kewangan awam.

PEMNA kini disokong melalui tabung amanah daripada pelbagai penderma, yang dibiayai oleh Kementerian Perancangan dan Belanjawan Republik Korea serta Kesatuan Eropah, di bawah urus tadbir Bank Dunia dan Sekretariat PEMNA yang diterajui oleh Institut Kewangan Awam Korea.

Turut hadir, Pemangku Pengarah di Bahagian Belanjawan, Pengiran Addizulfadli bin Pengiran Darussalam selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja bagi Mesyuarat 2026 PEMNA B-CoP Brunei Darussalam.