Siaran Akhbar dan Foto : Big BWN Project
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 7 November. - Projek Brunei Young Eco Innovators secara rasminya telah menyempurnakan siri bengkel pendidikan berasaskan alam sekitar yang dijalankan di lima buah sekolah menengah di seluruh negara dari bulan Ogos hingga Oktober 2026.
Diterajui oleh Big BWN Project dengan kerjasama Pusat STEP, Kementerian Pendidikan dalam 2 fasa pada tahun ini, serta disokong oleh Mitsubishi Corporation, inisiatif jangkauan berasaskan STEAM ini telah membolehkan ratusan pelajar memperoleh pengetahuan dan kemahiran praktikal untuk memimpin perubahan alam sekitar di komuniti masing-masing.
Melibatkan lima buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SMJA), Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sekolah Menengah Rimba I, Sekolah Menengah Sultan Hassan Bangar, dan Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, bengkel interaktif selama dua jam ini mendedahkan para pelajar kepada sains perubahan iklim, prinsip ekonomi pekeliling (‘circular economy’), serta amalan sifar sampah.
Menerusi aktiviti praktikal seperti mereka bentuk idea perniagaan mesra alam daripada bahan terbuang dan cabaran ‘Deinfluencing Habits’ untuk menangani isu penggunaan berlebihan, para peserta dapat memahami bagaimana pilihan harian mereka memberi impak yang besar kepada alam sekitar.
Setiap sesi diakhiri dengan Upacara Ikrar Hijau, di mana para pelajar berikrar untuk mengamalkan gaya hidup mesra alam di rumah dan di sekolah.
Salah seorang pelajar dari Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berkongsi, "Bengkel ini benar-benar membuka mata saya tentang sejauh mana pembaziran yang kita lakukan setiap hari tanpa disedari.
“Membentangkan idea perniagaan mesra alam membuatkan saya sedar bahawa bahan terbuang bukan sekadar sampah, tetapi boleh diubah menjadi sesuatu yang berguna dan bernilai untuk generasi kita”.
Seorang guru pula menambah, "Membawa pendidikan alam sekitar yang interaktif terus ke dalam bilik darjah adalah satu usaha yang sangat bernilai. Para pelajar kami berinteraksi dengan penuh semangat, dan melihat mereka menilai semula tabiat berbelanja dan penggunaan mereka amat membanggakan. Program seperti ini mengisi jurang penting dalam kurikulum sekolah”.
Sokongan strategik daripada Mitsubishi Corporation memainkan peranan penting dalam menjayakan program berkualiti tinggi ini, sekali gus membuktikan kepentingan kerjasama korporat dalam memperkasa belia serta menyokong pembangunan lestari.