Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
KIARONG, Sabtu, 7 November. - Bagi memohon keberkatan dan kemudahan daripada Allah Subhanahu Wata'ala dalam menghadapi Peperiksaan Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU), Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-Sekolah Ugama Kawasan Brunei II telah mengadakan Majlis Mohon Restu bagi Murid-murid Darjah VI yang merangkumi Sembahyang Sunat Hajat, Bacaan Surah Yaa Siin, Doa Peperiksaan dan Ceramah Motivasi.
Seramai 1,420 murid Darjah VI, termasuk murid berkeperluan khas dari sekolah-sekolah ugama Kawasan Brunei II, bersama ibu bapa dan penjaga masing-masing hadir pada majlis yang berlangsung di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong.
Majlis dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat secara berjemaah, diikuti dengan bacaan Surah Yaa Siin yang dipimpin oleh Guru Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Hafizah Sururul Bolkiah, Awang Mohd. Faris Zayani bin Muhd. Firdausil Amin.
Seterusnya, Doa Peperiksaan dibacakan oleh Guru Sekolah Ugama Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Haji Mohammad Khairuddin bin Haji Meraji.
Majlis diteruskan dengan ceramah motivasi yang disampaikan oleh Penolong Kaunselor, Jabatan Penjara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Fariszal bin Ali dan diakhiri dengan sesi memohon restu melalui bersalaman bersama ibu bapa, penjaga dan guru-guru.
Penganjuran majlis ini merupakan antara usaha berterusan dalam memberikan persediaan rohani serta suntikan motivasi kepada murid-murid sebelum menghadapi Peperiksaan Bertulis SSSRU yang dijadualkan berlangsung pada 9 hingga 23 November 2026.
Usaha ini juga diharap dapat memberikan ketenangan dan keyakinan kepada para murid, di samping memohon agar mereka dikurniakan kejayaan dan kecemerlangan dalam peperiksaan berkenaan.