Komited memperkukuh kerjasama sosiobudaya ASEAN

8 Nov 2026 - 5:34am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan

PASAY CITY, REPUBLIK FILIPINA, Sabtu, 7 November 2026. - Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shahm​ary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, dalam kapasiti beliau sebagai Menteri Majlis Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) bagi Negara Brunei Darussalam (NBD), baru-baru ini telah mewakili negara pada Mesyuarat ASCC Kali Ke-36 yang diadakan di Pasay City, Republik Filipina.

Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Setiausaha Kebajikan Sosial dan Pembangunan Republik Filipina, Tuan Yang Terutama Rexlon Ting Gatchalian, dalam kapasiti beliau sebagai Pengerusi Majlis ASCC, di bawah tema Pengerusian ASEAN Filipina, iaitu 'Navigating Our Future, Together'.

Mesyuarat tersebut menegaskan semula komitmen kolektif ASEAN untuk memajukan ASEAN yang berteraskan rakyat, inklusif dan berdaya tahan melalui pelaksanaan Pelan Strategik ASCC di bawah Wawasan Komuniti ASEAN 2045, dengan memberikan penekanan khusus terhadap usaha menterjemahkan komitmen serantau kepada dasar dan program yang konkrit serta memberikan manfaat nyata kepada rakyat ASEAN.

Semasa mesyuarat tersebut, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan mengalu-alukan kemajuan yang telah dicapai dalam memajukan Pelan Strategik ASCC serta menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama serantau dalam menangani cabaran yang saling berkaitan, di samping memupuk semangat identiti dan perpaduan bersama yang lebih kukuh dalam kalangan Negara-negara Anggota ASEAN.

Yang Berhormat turut menekankan bahawa kekuatan tersendiri ASCC terletak pada mandatnya yang berteraskan rakyat, yang berperanan sebagai penghubung penting antara komitmen serantau peringkat tinggi dengan peningkatan kehidupan rakyat secara nyata melalui kemajuan sosial, pembangunan modal insan dan kesejahteraan yang mampan.

Yang Berhormat juga mengalu-alukan pelancaran Sistem Perancangan, Pemantauan, Penilaian dan Pembelajaran ASCC (PMEL) semasa Majlis Pembukaan Mesyuarat Majlis ASCC Kali Ke-36.

Bersama-sama dengan Kerangka Hasil ASCC, sistem tersebut dijangka dapat memperkukuh pembuatan keputusan berasaskan bukti, meningkatkan akauntabiliti serta memudahkan pemantauan yang lebih berkesan terhadap pelaksanaan Pelan Strategik ASCC, serta Deklarasi dan Pelan Kerja badan-badan sektoral ASCC yang berkenaan.

Yang Berhormat seterusnya menyatakan sokongan NBD terhadap keutamaan Pengerusian Republik Filipina melalui agenda R.I.S.E., yang memberikan tumpuan kepada keluarga yang berdaya tahan dan diperkasakan; pembangunan inklusif; belia pintar dan inovasi; serta masa depan yang mampan dari segi alam sekitar dan terjamin dari segi keselamatan makanan.

Beliau turut menekankan keselarasan keutamaan tersebut dengan usaha pembangunan NBD serta mengulangi komitmen negara untuk memajukan kerjasama serantau yang memberikan manfaat bermakna dan berpanjangan kepada rakyat ASEAN.

Antara hasil utama mesyuarat tersebut ialah penegasan semula Pelan Strategik ASCC sebagai kerangka untuk memajukan keutamaan sosiobudaya ASEAN, pelancaran Sistem PMEL yang merangkumi Sistem Pangkalan Data ASCC yang dipertingkatkan bagi Pemantauan dan Penilaian (ADME) 2.0, serta pengesahan Laporan Mesyuarat Majlis ASCC Kali Ke-36 untuk dikemukakan kepada Sidang Kemuncak ASEAN Kali Ke-49 bagi pertimbangan para pemimpin ASEAN.

Mesyuarat Majlis ASCC Kali Ke-36 telah didahului oleh Mesyuarat Jawatankuasa Pegawai-Pegawai Kanan bagi Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (SOCA) Kali Ke-41 yang diadakan pada 4 November 2026.

Pada mesyuarat tersebut, NBD telah diwakili oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman, dalam kapasiti beliau sebagai Ketua SOCA bagi NBD, bersama-sama pegawai kanan dari kementerian berkenaan.