Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 6 November. - Global Innovators Challenge (GIC) 2026 melabuhkan tirainya baru-baru ini menerusi Majlis Penutup yang berlangsung di Inspiring Hub, Universiti Brunei Darussalam (UBD), dengan memberi pengiktirafan kepada hasil inovasi cemerlang serta meraikan kreativiti, inovasi dan potensi keusahawanan para pelajar dan penyelidik dari rantau ini.
Berlangsung dari 2 hingga 4 November 2026, dengan tema ‘Shaping Tomorrow : Innovation Without Boundaries’, cabaran berkenaan menghimpunkan seramai 42 peserta yang mewakili 13 pasukan daripada 16 institusi dari Negara Brunei Darussalam (NBD), Malaysia, Republik Indonesia dan Republik Filipina.
Program tersebut menyediakan platform kepada para peserta untuk mengetengahkan idea masing-masing, bertukar-tukar pengetahuan serta memperoleh pandangan dan pengalaman berharga daripada golongan profesional industri, mentor dan panel hakim.
Hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Penutup berkenaan, Setiausaha Tetap (Industri), Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Awang Mohammad Harris bin Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim.
Turut hadir, Naib Canselor UBD, Dr. Hazri bin Haji Kifle, pegawai-pegawai utama, rakan industri, ahli akademik serta para peserta.
Dalam ucapan penutupnya, Pengarah Perusahaan dan Pemasaran, Pejabat Penolong Naib Canselor (Penglibatan Industri dan Pembangunan Perusahaan), UBD, Dr. Annie Dayani binti Ahad Abdullah, merakamkan penghargaan kepada para peserta atas keberanian, komitmen dan kesediaan mereka dalam mengetengahkan idea serta menghadapi cabaran dalam bidang inovasi.
Mengimbas kembali perjalanan sepanjang cabaran berkenaan, beliau menegaskan bahawa pengalaman yang diperoleh bukan sekadar tertumpu kepada kemenangan dalam pertandingan, malah turut menitikberatkan aspek pembelajaran, kerjasama dan ketekunan dalam proses menghasilkan inovasi.
Dr. Annie Dayani seterusnya berkata, setiap pengalaman yang dilalui, termasuk usaha yang dicurahkan, cabaran yang dihadapi serta maklum balas yang diterima, mempunyai nilai tersendiri dan merupakan sebahagian daripada proses yang membentuk keupayaan seseorang untuk menjadi lebih baik.
Beliau seterusnya menggalakkan para peserta agar terus mengembangkan idea masing-masing selepas pertandingan dengan memperhalusi dan menguji konsep yang diketengahkan, mendapatkan bimbingan mentor serta meneroka peluang untuk merealisasikan inovasi yang berpotensi kepada aplikasi praktikal.
Seterusnya, Dr. Annie Dayani turut menekankan kepentingan menyediakan ekosistem yang menyokong perkembangan idea inovatif agar dapat diteruskan melangkaui peringkat awal pembangunan. Sehubungan itu, pelancaran InnovateLab yang diadakan bersempena GIC 2026 merupakan satu lagi langkah dalam usaha berterusan UBD untuk memperkukuh ekosistem inovasi dan keusahawanan.
Dr. Annie Dayani turut merakamkan penghargaan atas sumbangan dan sokongan yang tidak ternilai daripada para penaja, rakan industri, panel hakim, mentor, rakan pendidik serta pasukan penganjur dalam menjayakan cabaran berkenaan.
Mengakhiri ucapannya, Dr. Annie Dayani mengingatkan para peserta bahawa idea sekecil mana sekalipun berpotensi untuk membentuk masa depan, sambil berharap dapat menyambut penyertaan mereka sekali lagi pada Global Innovators Challenge 2027.
Global Innovators Challenge 2026 mendapat sokongan daripada Hibiscus EP (Brunei) B.V. dan Unified National Networks Sdn. Bhd. (UNN) selaku penaja emas; Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) selaku penaja gangsa; serta Tabung Amanah Pekerja (TAP) sebagai rakan sokongan.
Penglibatan golongan profesional industri, panel hakim dan mentor turut memberikan pendedahan berharga kepada para peserta mengenai perspektif industri, sekali gus membantu mereka memahami dengan lebih mendalam aspek-aspek praktikal yang perlu dipertimbangkan dalam membangunkan dan memperkembangkan hasil inovasi masing-masing.
Majlis Penutup berkenaan turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada para peserta cemerlang dalam tiga kategori utama sebagai pengiktirafan terhadap idea inovatif, sumbangan penyelidikan serta potensi mereka dalam menghasilkan impak yang bermakna.
Kategori anugerah dan para pemenang adalah seperti berikut, iaitu Student Innovators Award (Tertiary & Undergraduate) dimenangi oleh NERDS 2.0 dengan menerima wang tunai sebanyak BND1,000, dengan projek ‘Birdseye : A Computer Vision-based Poultry Litter Monitoring System’.
Manakala Student Innovators Award (Postgraduate) pula dimenangi oleh ReGen Group dengan menerima wang tunai sebanyak BND1,000, dengan projek ‘ReFacile : Turning Old Facades into Green Assets’.
Sementara Researcher Innovation Award (Academic-Led Project) dimenangi oleh BRUBIOCOAT, dengan menerima wang tunai sebanyak BND1,500, dengan projek ‘Global Urban Innovation & Development’, yang memfokuskan kepada usaha mengubah hasil sampingan pertanian dan sisa makanan yang terdapat di peringkat tempatan menjadi bahan pengawet biodegradasi bagi mengekalkan kesegaran buah-buahan dalam tempoh masa lima hingga tujuh hari.
NERDS 2.0, ReGen Group dan BRUBIOCOAT pula masing-masing dinobatkan sebagai johan bagi kategori yang disertai.
Inovasi yang diketengahkan memperlihatkan bagaimana penyelidikan, kreativiti dan pemikiran keusahawanan dapat diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang berpotensi memberikan manfaat.
Global Innovators Challenge mencerminkan komitmen berterusan UBD dalam memupuk ekosistem yang berteraskan inovasi dan keusahawanan dengan menggalakkan para pelajar serta penyelidik menterjemahkan idea kepada penyelesaian yang memenuhi keperluan industri dan masyarakat yang semakin berkembang.
Menerusi inisiatif seperti GIC dan InnovateLab, UBD terus menyediakan peluang bagi menggalakkan inovasi, kerjasama dan penglibatan bersama pihak industri, di samping menyokong usaha membawa idea ke arah aplikasi sebenar serta pengkomersialan.