Festival ketengahkan kebudayaan tradisional, moden Jepun

8 Nov 2026 - 5:30am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Hernie Suliana Haji Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 7 November. - Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam (NBD) menganjurkan Festival Kebudayaan Jepun 2026 selama dua hari, bermula hari ini hingga 8 November 2026, bertempat di Times Square Shopping Centre, di sini.

Penganjuran festival kali ke-12 itu bertujuan memperkenalkan kebudayaan tradisional dan kontemporari Jepun kepada masyarakat di negara ini melalui pelbagai persembahan pentas, bengkel dan reruai pameran.

Sebagai acara pembuka tirai, satu bengkel ‘Ikebana’, iaitu seni gubahan bunga tradisional Jepun, telah diadakan pada 6 November lalu di Laksamana College of Business (LCB).

Bengkel berkenaan disertai kira-kira 30 peserta yang berpeluang mempelajari seni gubahan bunga Jepun di bawah bimbingan guru ‘Ikebana’ bertauliah dari Jepun, Taniguchi Chieko.

Sementara majlis perasmian festival yang berlangsung petang tadi disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Hajah Noridah binti Abdul Hamid, selaku tetamu kehormat.

Turut hadir ialah Duta Besar Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Kikuta Yutaka, dan Pengurus Besar Times Square Shopping Centre, Dayang Amal Majidah Haji Suhaili.

Majlis diteruskan dengan upacara memotong reben sebelum diserikan dengan persembahan bertenaga daripada kumpulan Hibikiya, iaitu kumpulan persembahan gendang tradisional Jepun atau ‘Wadaiko’ yang dianggotai oleh ahli dari Republik Singapura dan Jepun.

Sepanjang dua hari festival berlangsung, para pengunjung berpeluang menyaksikan pelbagai pengisian menarik yang mengetengahkan kebudayaan tradisional dan moden Jepun.

Antara aktiviti pada hari pertama termasuk bengkel ‘Temari’ dan ‘Maki Sushi’ yang dikendalikan oleh cef rasmi Kedutaan Jepun, bengkel ‘Orizome’ atau teknik mewarna kain melalui lipatan, sesi perkongsian mengenai pembangunan industri manga di NBD, bengkel kaligrafi Jepun serta pertandingan ‘Plamo’ atau model plastik.

Hari kedua festival pula diteruskan dengan pertandingan mewarna, sesi perkongsian mengenai Biasiswa Kerajaan Jepun (MEXT), pembentangan berkaitan Jepun oleh para pelajar sekolah menengah tempatan, demonstrasi Judo dan Kendo serta sesi perkongsian mengenai subkategori fesyen ‘Lolita’.

Turut memeriahkan festival ialah persembahan tarian J-pop oleh Brunei Japan Friendship Association (BJFA) Cawangan UBD dan UTB, serta persembahan tarian tradisional Brunei dan Jepun oleh BERSATU.

Festival berkenaan diakhiri dengan persembahan tarian ‘Soran Bushi’ yang dipersembahkan secara bersama oleh BJFA dan Hibikiya.

Selain itu, para pengunjung turut berpeluang mengunjungi pelbagai reruai pameran dan menyertai aktiviti interaktif seperti kaligrafi, origami, pemakaian ‘yukata’ dan permainan tradisional, di samping mendapatkan maklumat mengenai peluang melanjutkan pengajian ke Jepun serta pembelajaran bahasa Jepun.

Melalui penganjuran festival berkenaan, Kedutaan Jepun berharap agar ia dapat meningkatkan minat dan kefahaman masyarakat terhadap kebudayaan Jepun, di samping terus memperkukuh hubungan persahabatan antara Jepun dan NBD.