Falsafah MIB tonggak identiti, perpaduan, kedaulatan negara

18 Nov 2026 - 9:39am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahamdi

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 17 November. –  Peranan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) sebagai asas dalam memelihara identiti, perpaduan dan kedaulatan Negara Brunei Darussalam (NBD) menjadi fokus utama Seminar Majlis Ilmu 2026 yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Pada Sidang Kedua yang bertemakan ‘MIB Sebagai Asas Calak Brunei dan Kelestarian Warisan’ berkenaan memberi tumpuan kepada kepentingan sejarah, bahasa, budaya dan adat Melayu Brunei dalam memelihara identiti kebangsaan serta memperkukuh semangat patriotisme.

Hadir selaku tetamu-tetamu kehormat pada Sidang Kedua tersebut, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh.

Juga hadir, Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab; dan Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Yang Dipertua Persatuan Sejarah Brunei (PESEBAR), Dr. Awang Haji Mohd. Rozan bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos dengan kertas kerja bertajuk ‘Bahasa, Budaya dan Adat Melayu Brunei : Teras Patriotisme dan Kelestarian Warisan’ antara lain  menghuraikan mengenai warisan MIB sebagai  falsafah kebangsaan NBD dan pencernaannya dalam urus tadbir Islam sepanjang era kemerdekaan. 

Dr. Awang Haji Mohd. Rozan juga memberi tumpuan kepada empat tonggak warisan yang diisytiharkan melalui titah-titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam: Titah  Tahun 1990 bahawa Kerajaan Brunei adalah Kerajaan Islam, Titah Visi Negara Zikir pada 2007, Titah Pelaksanaan Perintah Hukum Kanun Syariah pada 2013, dan Titah Pengumuman Maqasid Syariah pada  2018 sebagai kerangka panduan tadbir urus negara. 

Beliau juga menekankan bahawa keempat-empat titah itu bukanlah pengisytiharan dasar yang berasingan, sebaliknya merupakan penzahiran MIB sebagai  warisan yang berakar umbi dalam sejarah, budaya dan tradisi agama NBD, membentuk satu trajektori tadbir urus yang koheren, tersusun dan berterusan daripada asas ideologi, kepada pemupukan rohani, kepada pengkodifikasian undang-undang dan akhirnya kepada penyatuan etika. 

Trajektori itu, katanya lagi, mencerminkan gaya pemerintahan baginda sebagai raja pemedulian dan pemegang amanah warisan MIB. Kajian berkenaan seterusnya mencadangkan bahawa model tadbir urus Islam NBD, yang bercirikan pendekatan beransur-ansur, sistematik dan berpaksikan kepada raja, menawarkan contoh warisan yang tersendiri dan berharga untuk diteliti dengan mendalam bagi masyarakat Islam kontemporari.

Tesis utama, tambahnya lagi, ialah empat tonggak urus tadbir Islam era kemerdekaan membentuk satu model warisan MIB yang koheren dan berpengaruh serta wajar mendapat perhatian ilmiah yang serius. Model tersebut dicirikan oleh bentuk berajanya, kaedah pelaksanaannya yang beransur-ansur dan pendekatan sistematiknya.

Model tersebut jelasnya lagi, mengambil serius sifat menyeluruh Islam dengan menangani dimensi ideologi, rohani, undang-undang dan etika tadbir urus. Model berkenaan juga mengutamakan kesejahteraan rakyat, sekali gus mencerminkan gaya pemerintahan baginda sebagai raja pemedulian.

Dr. Awang Haji Mohd. Rozan seterusnya berkata semasa NBD akan menyambut Jubli Intan, negara boleh berbangga dengan pencapaian enam dekad urus tadbir Islam. Seni bina institusi yang didirikan dalam tempoh tersebut menyediakan asas bagi kemakmuran dan kestabilan yang berterusan. Legasi ini menghormati warisan Islam NBD sambil memeluk cabaran dan peluang dunia moden.

Legasi berkenaan tambahnya, akan terus membimbing dan memberikan inspirasi kepada generasi akan datang. Apa yang pasti, pengalaman NBD memberikan perspektif yang berharga tentang potensi dan cabaran dalam pelaksanaan tadbir urus Islam dalam konteks dunia kontemporari. 

Pengalaman itu ujarnya lagi, wajar diteliti secara mendalam serta diberikan perhatian melalui penglibatan yang  konstruktif. Warisan MIB, sebagaimana yang dizahirkan melalui empat tonggak tadbir urus Islam era kemerdekaan, bukanlah warisan yang statik, malah warisan yang hidup yang terus relevan, terus membimbing, dan terus memberi inspirasi kepada generasi akan datang.

Sementara itu, pembentang kedua, Pemangku Timbalan Pengetua, Pusat Sejarah Brunei, Awang Mohammad Faisal bin Haji Mat Salleh pula menyatakan bahawa bahasa, budaya dan adat istiadat Melayu NBD merupakan tunjang penting dalam membentuk semangat patriotisme, memperkukuh jati diri bangsa serta memastikan kelestarian warisan negara terus terpelihara berlandaskan falsafah MIB.

Awang Mohammad Faisal dalam kertas pembentangannya mengetengahkan hubungan erat antara bahasa, budaya dan adat istiadat Melayu NBD dalam membentuk identiti kebruneian, di samping memperkukuh hubungan antara raja dengan rakyat.

Selain itu, pembentangan berkenaan menjelaskan bahawa bahasa Melayu NBD bukan sekadar alat komunikasi, malah mempunyai nilai sejarah yang besar sebagai bahasa istana, pemerintahan dan perundangan, sebagaimana yang tercatat dalam Hukum Kanun Brunei serta surat-surat diplomatik antara 1578 hingga 1812.

Kepentingan bahasa katanya lagi, turut terserlah sebagai lambang ketahanan dan kelangsungan negara ketika berhadapan dengan cabaran politik dan ketenteraan. Perkara berkenaan antara lain dirakamkan melalui Syair Rakis, Amanat 20 Februari 1885 serta warkah bantahan Sultan Hashim kepada Ratu Victoria pada 1890.

Kedudukan bahasa Melayu tambahnya, terus dimartabatkan melalui Perlembagaan Negeri Brunei 1959, khususnya Perkara 82, dan pemasyhuran Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam pada 1 Januari 1984 yang menegaskan identiti negara sebagai sebuah negara MIB.

Selain itu, Awang Mohammad Faisal  turut menekankan kepentingan memelihara kehalusan bahasa dan budaya dalam kehidupan seharian, termasuk sistem sapaan, penggunaan kata ganti, budi bahasa, seni menegur secara sindiran yang berhemah serta pemeliharaan tulisan Jawi.

Jelasnya, konsep budiman pula dihuraikan menerusi tiga unsur utama, iaitu budi bahasa, budi pekerti dan budi bicara yang bukan sahaja mencerminkan nilai kesantunan, rasa hormat terhadap pemimpin, malah kepada kepatuhan kepada undang-undang dan juga  kesantunan dalam bermasyarakat.

Dari aspek adat istiadat tambahnya lagi, konsep daulat, derhaka dan taat setia turut diketengahkan sebagai asas hubungan timbal balik antara raja dengan rakyat, yang dizahirkan antaranya melalui Istiadat Perpuspaan.

Secara keseluruhan katanya, bahasa, budaya dan adat istiadat Melayu NBD bukan sekadar warisan turun-temurun, malah merupakan asas pembentukan patriotisme, pengukuhan identiti kebangsaan dan kesinambungan falsafah MIB demi memastikan warisan negara terus dihargai serta diwariskan kepada generasi akan datang.