Siaran Akhbar dan Foto : Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 17 November. - Bahagian Kebudayaan, Kesenian dan Sosial, Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) baru-baru ini buat julung kalinya telah menganjurkan Pertandingan Pidato antara Murid-murid Tahun 6 bagi Sekolah-sekolah Rendah di bawah PGGMB, Tahun 2026, bertempat di Dewan Sekolah PGGMB, Sungai Akar.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan, Ketua Kampung Belimbing.
Pertandingan berkenaan menyaksikan seramai lapan orang peserta bertanding dalam dua kategori, iaitu lelaki dan perempuan.
Penyertaan melibatkan empat buah sekolah, iaitu Sekolah Tunas Jaya PGGMB Lambak, Sekolah Tunas Jaya PGGMB Madang, Sekolah Tunas Jaya PGGMB Kuala Belait dan Sekolah Rendah PGGMB Sungai Akar.
Dalam ucapan alu-aluannya, Pengerusi Jawatankuasa Kerja, Dayang Maisarah binti Haji Rapaie menjelaskan bahawa pertandingan antara lain bertujuan untuk mencungkil bakat, membina keyakinan diri, memperkukuh penguasaan bahasa Melayu serta meningkatkan kemahiran komunikasi dalam kalangan murid.
Tema pertandingan menekankan kepentingan melahirkan generasi muda yang bijak berfikir, bertanggungjawab dan mempunyai kesedaran untuk memelihara alam sekitar.
Para peserta turut diberikan peluang menyampaikan pandangan mengenai isu teknologi, pendidikan, budaya dan tanggungjawab sosial.
Antara peserta yang mencatat kejayaan ialah Dayang Zirawatul Husna Ameera binti Rudyman dari Sekolah Tunas Jaya PGGMB Lambak yang dinobatkan sebagai johan Kategori Perempuan menerusi pidato bertajuk ‘AI – Rakan Pembelajaran Murid pada Masa Kini’.
Pidatonya mengetengahkan manfaat Kecerdasan Buatan dalam pembelajaran serta kepentingan penggunaannya secara bijak dan beretika.
Pertandingan ini turut menawarkan Piala Pusingan Yang Dipertua PGGMB, hasil sumbangan peribadi Yang Dipertua PGGMB, Awang Haji Mustapa bin Haji Masri.
Piala pusingan tersebut telah menjadi rebutan antara sekolah-sekolah yang mengambil bahagian dan berjaya dimenangi oleh Sekolah Tunas Jaya PGGMB, Lambak.
Penganjuran ini diharap dapat diteruskan sebagai wadah memperkasa bahasa Melayu, mengembangkan bakat serta membina keyakinan generasi muda.