Berita dan Foto : Rohani Haji Abdul Hamid
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 18 Ogos. - Bank Islam Brunei Darussalam Berhad (BIBD) hari ini memperkenalkan koleksi kad debit baharu yang menampilkan elemen warisan, identiti budaya dan nilai-nilai Islam negara, sekali gus menandakan pelancaran kad terbesar bank berkenaan setakat ini.
Koleksi berkenaan memperkenalkan tiga reka bentuk kad, iaitu BIBD Platinum Debit Mastercard, BIBD Flex Platinum Debit Mastercard yang diperbaharui khusus bagi pelanggan muda, serta BIBD Eco Limited-Edition Platinum Debit Mastercard.
Sehubungan itu, BIBD petang tadi mengadakan Sidang Media bagi memperkenalkan koleksi kad debit baharu berlangsung di Bilik Perdana BIBD, di ibu negara.
Antara yang hadir pada Sidang Media tersebut ialah Ketua Pemasaran BIBD, Awang Ahmad Firdaus bin Pengiran Dato Paduka Haji Salim; Rakan Niaga Pemasaran, Awang Zahirul Ghazi bin Jomari dan Awang Haji Amir Anwar bin Pengiran Dato Paduka Haji Abd Rahman; Timbalan Ketua Kejuruteraan Produk, Sabrina Wong dan Pengurus Produk, Siti Aishah binti Haji Abu Bakar.
Menurut BIBD, koleksi tersebut bukan sekadar berfungsi sebagai kemudahan pembayaran, malah turut menjadi lambang penghargaan terhadap identiti dan warisan Negara Brunei Darussalam.
Setiap reka bentuk kad diinspirasikan oleh warisan serta nilai-nilai negara, dengan elemen tersebut diterjemahkan dalam bentuk reka bentuk yang dapat dibawa bersama oleh para pelanggan dalam kehidupan seharian.
Sementara itu, BIBD Flex Platinum Debit Mastercard yang diperbaharui, direka khusus bagi pelanggan berumur antara 15 hingga 17 tahun, sebagai usaha memperkenalkan generasi baharu kepada kemudahan perbankan moden, di samping memupuk rasa bangga terhadap identiti kebangsaan.
Sebagai salah sebuah institusi kewangan utama di negara ini, BIBD berharap koleksi tersebut akan menyemarakkan rasa bangga dalam kalangan para pelanggan untuk menggunakan kad berkenaan, sama ada bagi urusan perbelanjaan harian di dalam negara mahupun ketika berada di luar negara.
Penghasilan koleksi tersebut turut melibatkan kerjasama bersama artis-artis tempatan bagi memastikan setiap reka bentuk mengetengahkan kreativiti dan hasil seni tempatan yang tulen. Kerjasama berkenaan juga mencerminkan komitmen berterusan BIBD dalam memperkasa bakat tempatan serta menyediakan platform bagi para penggiat seni Brunei untuk terus berkarya dan berkembang.
Ketua Kumpulan Perbankan Runcit BIBD, Awang Junaidi bin Bahrum berkata kad-kad berkenaan juga boleh berperanan sebagai ‘duta’ bagi Brunei.
“Apabila para pelanggan menggunakannya ketika berada di luar negara, reka bentuk unik serta elemen seni yang ditampilkan pada setiap kad dapat memberikan gambaran mengenai budaya dan warisan Brunei,” jelasnya.
Beliau menambah, kad-kad berkenaan membolehkan para pelanggan membawa sebahagian daripada kisah dan identiti negara ke mana sahaja mereka pergi.
“Setiap kad menjadi satu peluang kepada para pelanggan untuk membawa dan mengetengahkan mercu tanda negara dengan penuh rasa bangga, sekali gus berperanan sebagai duta bagi Brunei dan menyumbang kepada peningkatan keterlihatan serta minat terhadap negara, selaras dengan usaha menuju Visit Brunei 2027,” jelas beliau.
Seiring dengan mengetengahkan naratif kebudayaan, BIBD turut meneruskan komitmennya terhadap kelestarian menerusi BIBD Eco Limited-Edition Platinum Debit Mastercard. Dihasilkan daripada 100 peratus kayu ‘maple’ yang diperakui FSC, berbanding penggunaan plastik konvensional, kad berkenaan boleh terbiodegradasi sepenuhnya dan dihasilkan tanpa menggunakan plastik berasaskan petroleum.
Kad tersebut mencerminkan Rangka Kerja Kelestarian BIBD, di samping komitmen bank berkenaan dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDGs) dan Wawasan Brunei 2035.
Sempena pelancaran tersebut, BIBD akan mengagihkan Eco Card melalui kempen khas untuk para pelanggan berlangsung dari 1 Ogos hingga 30 September 2026. Para pelanggan yang mencapai jumlah perbelanjaan terkumpul minimum sebanyak BND2,200 menggunakan kad debit BIBD atau BIBD QuickPay sepanjang tempoh kempen akan berpeluang menerima Eco Card eksklusif berkenaan, tertakluk kepada ketersediaan stok.
Transaksi yang layak termasuk pembelian secara runcit, dalam talian, tanpa sentuhan, di luar negara serta pembelian melalui terminal tempat jualan (POS). Walau bagaimanapun, pengeluaran wang tunai melalui ATM, arahan tetap serta transaksi yang dibatalkan atau dipertikaikan tidak akan diambil kira dalam memenuhi jumlah perbelanjaan yang ditetapkan.
Para pelanggan boleh mendaftar pada bila-bila masa sepanjang tempoh kempen, manakala semua perbelanjaan yang layak mulai 1 Ogos 2026 akan dikira secara retrospektif.
Sebagai ganjaran tambahan, 100 pelanggan terawal yang memenuhi syarat perbelanjaan tersebut juga akan menerima BIBD Leather Card Holder and Wallet eksklusif. Para pelanggan yang berjaya akan dimaklumkan secara terus oleh pihak BIBD mengenai butiran lanjut berkaitan pengambilan dan pengaktifan kad.
Memandangkan jumlah ganjaran adalah terhad, semua ganjaran akan diagihkan berdasarkan konsep ‘first-come, first-served’. Koleksi kad debit yang diperbaharui tersebut akan mula tersedia pada September 2026.
Bagi pemohon baharu, reka bentuk kad yang dikemas kini akan diberikan secara automatik, manakala pelanggan sedia ada akan menerima reka bentuk baharu berkenaan semasa kitaran pembaharuan kad masing-masing. Sementara itu, Eco Card akan diagihkan secara berasingan mengikut terma dan syarat kempen yang ditetapkan.
Untuk sebarang pertanyaan, para pelanggan boleh menghubungi Pusat Perhubungan BIBD di talian +673 223 8181 atau berkunjung ke mana-mana cawangan BIBD bagi mendapatkan bantuan.
BIBD juga menggalakkan para pelanggan untuk mengikuti saluran rasmi dan platform media sosial bank berkenaan bagi mendapatkan perkembangan terkini serta maklumat lanjut sepanjang tempoh kempen.