Oleh : Rohani Haji Abdul HamidFoto : Mohammad Hasif MatzinBERAKAS, Khamis, 12 November. - Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) telah mengadakan Majlis Penyampaian Sijil Taraf Kerakyatan Kali Ke-46 yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.
Majlis berkenaan merupakan salah satu acara rasmi bagi menyampaikan pengiktirafan taraf kerakyatan Negara Brunei Darussalam (NBD) kepada individu-individu yang telah memenuhi syarat serta mendapat limpah kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Penyampaian Sijil-sijil Taraf Kerakyatan telah disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Pada majlis kali ini, seramai 710 penerima telah menerima Sijil Taraf Kerakyatan NBD setelah mendapat limpah kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Para penerima terdiri daripada individu-individu yang telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan taraf kerakyatan NBD mengikut peruntukan yang ditetapkan di bawah Akta Taraf Kebangsaan Brunei, Penggal 15.
Antara kategori penerima ialah mereka yang memohon di bawah Bab 5(1) dan Bab 8(1), yang telah memenuhi pensyaratan termasuk lulus dalam Ujian Bahasa Melayu secara bertulis dan lisan.
Selain itu, penerima turut terdiri daripada mereka yang layak di bawah Bab 6(1), iaitu anak-anak kepada ibu warganegara Brunei, anak-anak kepada ayah warganegara Brunei serta anak-anak angkat kepada ibu bapa angkat yang merupakan warganegara Brunei.
Turut menerima Sijil Taraf Kerakyatan ialah isteri-isteri kepada suami warganegara Brunei yang memenuhi ketetapan di bawah Bab 5(6) Akta Taraf Kebangsaan Brunei, Penggal 15.
Penyampaian sijil berkenaan menandakan pengiktirafan rasmi terhadap status kerakyatan para penerima setelah melalui proses permohonan dan memenuhi peruntukan serta syarat yang telah ditetapkan.
Majlis tersebut juga menjadi wadah bagi meraikan para penerima yang kini memperoleh pengiktirafan taraf kerakyatan NBD melalui perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Turut hadir pada majlis tersebut, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-setiausaha Tetap KHEDN, ketua-ketua jabatan, penghulu-penghulu mukim, Pegawai-pegawai kanan KHEDN serta pegawai dan kakitangan JIPK.
Majlis Penyampaian Sijil Taraf Kerakyatan Kali Ke-46 ini mencerminkan pelaksanaan tanggungjawab JIPK dalam mengendalikan urusan berkaitan taraf kerakyatan berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa di NBD.
Dalam temu bual bersama salah seorang penerima Sijil Taraf Kerakyatan, Dayang Rachel Thien menzahirkan rasa syukur dan setinggi-tinggi penghargaan serta menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta pihak kerajaan atas limpah kurnia perkenan baginda yang membolehkan beliau memperoleh taraf kerakyatan NBD setelah menunggu selama tiga tahun.
Menurut beliau, peluang untuk menjadi rakyat NBD merupakan sesuatu yang amat bermakna, lebih-lebih lagi memandangkan sebahagian besar kehidupan beliau telah dilalui di negara ini. Beliau menjelaskan bahawa beliau dilahirkan di United Kingdom sebelum menetap di NBD sejak berusia dua tahun.
Sepanjang menetap di negara ini, beliau telah mendapat pendidikan bermula dari peringkat sekolah rendah sehingga menamatkan pengajian di Universiti Brunei Darussalam (UBD). Selepas menamatkan pengajian, beliau seterusnya mula bekerja dan masih meneruskan kerjaya sehingga kini.
Beliau turut melahirkan rasa bangga kerana akhirnya berpeluang menjadi rakyat Kebawah DYMM dan menyifatkan penerimaan taraf kerakyatan tersebut sebagai satu penghargaan yang amat besar dalam kehidupannya.
Sehubungan itu, beliau menyatakan komitmen untuk sentiasa taat setia kepada Kebawah DYMM serta berusaha memberikan sumbangan yang bermakna, khususnya dalam sama-sama menjana dan menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Dayang Rebecca Thien Nyuk Yean, turut melahirkan rasa gembira dan bersyukur atas limpah kurnia perkenan Kebawah DYMM untuk menerima beliau sebagai rakyat NBD.
Beliau menyifatkan penerimaan taraf kerakyatan berkenaan sebagai satu penghargaan yang amat bermakna dan berjanji akan sentiasa memberikan taat setia serta mematuhi segala undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa di negara ini.
Beliau juga menyatakan hasrat untuk terus berbakti dan memberikan sumbangan kepada NBD, khususnya dalam usaha bersama meningkatkan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Kedua-dua penerima turut menzahirkan penghargaan atas perkenan yang diberikan dan berharap agar dapat terus memainkan peranan sebagai rakyat yang bertanggungjawab serta menyumbang kepada kemajuan dan kesejahteraan NBD.