27 peserta perdengarkan bacaan Al-Quran pada hari kedua

18 Nov 2026 - 9:00am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 17 November. – Seramai 27 peserta, terdiri daripada 20 qari dan tujuh qariah, memperdengarkan bacaan masing-masing pada sesi pagi dan petang hari ini, sempena hari kedua Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1448 Hijrah / 2027 Masihi bertempat di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Hadir selaku tetamu khas bagi sesi pagi, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, juga Penghulu Mukim Lumapas.

Majlis pada pagi tadi dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Awang Hazwan Hamizan bin Haji Haminuddin, salah seorang peserta musabaqah.

Seramai 15 peserta, terdiri daripada 12 qari dan tiga qariah memperdengarkan bacaan masing-masing pada sesi pagi.

Manakala pada sesi petang pula, seramai 12 peserta, terdiri daripada lapan qari dan empat qariah telah memperdengarkan bacaan masing-masing.

Hadir selaku tetamu khas bagi sesi petang, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Mohammad Ali bin Tanjong, juga Ketua Kampung Lumapas ‘B’.

Majlis pada petang tadi dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Awang Abdul Wafiy bin Haji Kadiroshman, juga salah seorang peserta musabaqah.

Musabaqah berkenaan turut disiarkan secara langsung menerusi akaun Instagram rasmi Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) ‘@kheu.brunei’.

Penganjuran musabaqah tersebut bertujuan untuk memartabatkan syiar Islam melalui pembacaan dan penghayatan Al-Quran, di samping melahirkan qari dan qariah negara yang berkualiti, berilmu serta berakhlak mulia.

Selain itu, musabaqah berkenaan juga menjadi platform untuk mencungkil dan mengasah bakat serta meningkatkan mutu pembacaan Al-Quran dalam kalangan masyarakat Islam di Negara Brunei Darussalam.

Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1448H/2027M anjuran Bahagian Kemajuan Syiar Islam dan Jabatan Pentadbiran, KHEU, diadakan selama tiga hari berturut-turut, bermula pada Isnin hingga Rabu, 6 hingga 8 Jamadilakhir 1448H, bersamaan 16 hingga 18 November 2026.