22 ahli baharu PK terima surat lantikan

7 Nov 2026 - 5:57am

Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei

BELAIT, Jumaat, 6 November. - Balai Polis Labi, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) baru-baru ini telah mengadakan Majlis Penyampaian Surat Lantikan kepada Ahli Baharu Pengawasan Kejiranan (PK) bagi kawasan Mukim Sukang, Mukim Bukit Sawat, Mukim Labi, Rumah Panjang Mendaram Besar dan Rumah Panjang Bang Taong, Daerah Belait.

Surat lantikan berkenaan telah disampaikan oleh Pemangku Penolong Pegawai Pemerintah Daerah Polis Belait, Timbalan Penguasa Polis Mohd. ‘Izzuddin Hanis bin Haji Md. Salleh kepada 22 ahli baharu.

Mereka terdiri daripada enam Ahli Baharu Mukim Bukit Sawat yang diketuai oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman, Penghulu Mukim Bukit Sawat; lapan Ahli Baharu Mukim Sukang yang diketuai oleh Penghulu Mukim Sukang, Awang Shahronizam bin Haji Mohamad Noh; enam Ahli Baharu Mukim Labi yang diketuai oleh Ketua Kampung Labi 1, Awang Mohammad Ariffin bin Haji Abdul Rahman; serta dua Ahli Baharu dari Rumah Panjang Mendaram Besar.

Penambahan ahli berkenaan diharap dapat menarik lebih ramai penduduk kampung untuk sama-sama berganding bahu mencegah jenayah, menjaga keselamatan dan kesejahteraan kampung serta memperkukuh organisasi PK di kawasan tadahan masing-masing.

Kerjasama erat antara PPDB dan Ahli-ahli PK juga dijangka akan memperkasa lagi penyaluran maklumat, aktiviti rondaan dan pemantauan bagi membendung kegiatan jenayah dengan lebih berkesan.