Riadah dan kesihatan : Nikmat Allah yang perlu dijaga

4 Nov 2026 - 11:11am

KESIHATAN merupakan antara nikmat Allah Subhanahu Wata'ala yang sangat berharga dalam kehidupan manusia. Tubuh badan yang sihat membolehkan kita beribadah, bekerja, menuntut ilmu dan melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga serta masyarakat dengan lebih baik. Salah satu cara untuk menjaga nikmat kesihatan ialah dengan melakukan aktiviti riadah secara teratur. Dalam Islam, umatnya digalakkan menjaga kekuatan dan kesihatan diri agar dapat menjalani kehidupan dengan aktif, seimbang dan bermanfaat.

Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al Baqarah, ayat 195 yang terjemahan makna ayatnya :

''…Dan janganlah kamu sengaja menjerumuskan diri kamu sendiri ke dalam kebinasaan...''

Ayat ini mengingatkan kita supaya tidak mengabaikan diri sehingga mendatangkan kemudaratan. Oleh itu, menjaga kesihatan melalui pemakanan yang baik, rehat yang mencukupi dan aktiviti fizikal merupakan antara usaha yang boleh dilakukan dalam menghargai tubuh badan yang telah dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala.

Riadah seperti berjalan kaki, berjoging, berenang, berbasikal dan melakukan pelbagai aktiviti sukan dapat membantu meningkatkan kecergasan serta membina disiplin diri. Selain menyihatkan tubuh badan, riadah juga dapat menyegarkan fikiran dan membantu mengurangkan tekanan. Ini adalah kerana kehidupan moden yang dipenuhi dengan tuntutan pekerjaan, pelajaran dan urusan harian kadangkala menyebabkan seseorang berasa letih dan tertekan. Justeru aktiviti fizikal yang dilakukan secara sederhana dan konsisten dapat menjadi ruang untuk merehatkan minda serta mengembalikan tenaga. Apabila tubuh dan fikiran berada dalam keadaan yang baik, seseorang juga dapat melaksanakan ibadah dan tanggungjawab hariannya dengan lebih sempurna.

Riadah turut menjadi medium untuk mengeratkan hubungan silaturahim. Melalui aktiviti tersebut ianya dapat mewujudkan  nilai kerjasama, interaksi yang sihat.

Namun begitu, riadah hendaklah dilakukan secara seimbang dan tidak berlebihan sehingga mengabaikan kewajipan. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al A'raaf, ayat 31 yang mafhumnya :

''Dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan''.

Prinsip kesederhanaan ini penting dalam setiap aspek kehidupan, termasuk ketika bersukan dan beriadah.

Kesimpulannya, riadah bukan sekadar aktiviti untuk mengisi masa lapang, malah merupakan salah satu usaha menjaga amanah iaitu tubuh badan yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata'ala. Marilah kita membudayakan riadah dalam kehidupan seharian dengan niat menjaga kesihatan, mensyukuri nikmat Allah dan mempersiapkan diri untuk melakukan kebaikan. Tubuh yang sihat, minda yang cergas dan jiwa yang kuat akan membantu kita menjadi insan yang lebih produktif serta lebih bersedia untuk beribadah dan memberi manfaat kepada orang lain.