Bolehkah Melakukan Umrah Berulang Kali Dalam Satu Hari?

4 Nov 2026 - 11:06am

(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

 

BERANGKAT ke Tanah Haram Makkah untuk menunaikan ibadah haji atau ibadah umrah merupakan impian setiap muslim. Namun, impian tersebut bukanlah sesuatu yang mudah dicapai kerana perjalanan ke Tanah Haram memerlukan pengorbanan yang besar dari segi harta, masa dan tenaga.  Oleh kerana itu, tidak sedikit jemaah haji atau umrah berusaha memanfaatkan setiap detik peluang yang mereka ada ketika berada di Tanah Haram dengan memperbanyak ibadah seperti mengerjakan sembahyang sunat dan tawaf sunat serta memperbanyak amal salih seperti bersedekah dan berwakaf. Amal ibadah dan amal salih yang dilakukan di Tanah Haram mempunyai ganjaran yang amat besar.

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Jabir Radhiallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda :

Maksudnya : (Satu) sembahyang di masjidku ini (Masjid Nabawi) lebih afdhal daripada 1000 sembahyang di (masjid) selainnya, melainkan Masjid Haram. Dan (satu) sembahyang di Masjidil Haram itu lebih afdhal daripada 100,000 sembahyang di (masjid) selainnya.

(Hadits riwayat Ibn Majah)

Dalam sebuah hadits yang lain pula, Abu ad-Darda' Radhiallahu 'anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda :

Maksudnya : Kelebihan sembahyang di Masjidil Haram ke atas (masjid-masjid) selainnya ialah 100,000 (kali ganda pahala) sembahyang, dan (kelebihan sembahyang) di masjidku (Masjid Nabawi) ialah 1000 (kali ganda) sembahyang (berbanding masjid-masjid selainnya), dan (kelebihan sembahyang) di Masjid Baitulmaqdis (Masjidil Aqsha) ialah 500 (kali ganda) sembahyang (berbanding masjid-masjid selainnya).

(Hadits riwayat al-Bazzar)

Selain memperbanyak sembahyang sunat, tawaf sunat dan membaca al-Qur'an, terdapat juga sebahagian jemaah yang memilih untuk memperbanyak umrah sepanjang tempoh mereka berada di Tanah Haram. Dengan adanya kemudahan pengangkutan keluar ke miqat dari Tanah Haram untuk berniat ihram memudahkan lagi para jemaah melakukan ibadah umrah berulang kali selama tempoh dia berada di Makkah. Sehinggakan ada juga yang umrah berulang kali dalam satu hari.

Dalam hal ini, sebahagian orang berpendapat bahawa sekalipun sunat memperbanyak umrah namun ia tidak dikerjakan berulang kali dalam satu hari dan ada juga yang berpendapat bahawa tidak dilarang melakukan umrah berulang kali dalam satu hari. Apakah pandangan syara‘ mengenai perkara ini? Berikut penjelasan mengenainya.

Sebagaimana yang diketahui ibadah umrah adalah antara amalan paling utama selain ibadah haji. Menurut pendapat al-azhhar,  hukum mengerjakan umrah adalah wajib sekali seumur hidup, berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala :

Tafsirnya : Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah semata-mata.

(Surah al-Baqarah : 196)

Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam menyifatkan umrah sebagai satu bentuk jihad bagi wanita sebagaimana hadits yang  diriwayatkan daripada 'A'isyah Radhiallahu 'anha, katanya :

Maksudnya : Ya Rasulullah, adakah ke atas perempuan jihad? Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda : ''Ya, ke atas mereka jihad yang tiada melibatkan peperangan (iaitu) haji dan umrah.

(Hadits riwayat Ibn Majah)

Ibadah umrah juga dianjurkan untuk dilakukan beriringan dengan ibadah haji sebagaimana disebut dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Ibn Mas'ud Radhiallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda :

Maksudnya : Lakukan secara beriringan antara haji dan umrah, sesungguhnya kedua-duanya menghapuskan kefakiran dan dosa sebagaimana alat peniup api menghapuskan kekotoran besi, emas dan perak. Dan tidak (ada balasan) bagi haji mabrur melainkan syurga.

(Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Walaupun ibadah umrah hanya wajib dikerjakan sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan akan tetapi memperbanyak mengerjakan umrah adalah sunat kerana ia boleh menghapuskan dosa-dosa yang berlaku antara dua umrah sebagaimana hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda :

Maksudnya : (Satu) umrah ke (satu) umrah adalah kaffarah (penghapus dosa-dosa) antara kedua-duanya (dua umrah).

(Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Imam an-Nawawi Rahimahullah dalam kitabnya al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-'Umrah menyebut :

Ertinya : Dan tidak wajib (melakukan) umrah melainkan sekali sahaja sebagaimana haji. Akan tetapi disunatkan memperbanyaknya (umrah) lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan.

Menurut beliau lagi, melakukan umrah berulang kali dalam setahun itu adalah sunat sebagaimana disebutkan dalam kitabnya al-Majmu' Syarh al-Muhadzdzab, katanya :

Ertinya : (Cabang permasalahan) pendapat mazhab mereka tentang (hukum) melakukan umrah berulang kali dalam setahun. Mazhab kami (asy-Syafi'i) bahawa sesungguhnya tidak makruh demikian (berulang-ulang melakukan umrah dalam setahun), bahkan sunat (hukumnya).

Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah dalam Hasyiyahnya ke atas Syarh al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-'Umrah membawakan perkataan Imam asy-Syafi'i Rahimahullah :

Ertinya : Aku menyukai seseorang yang tidak sampai kepadanya tempoh satu tahun melainkan dia menunaikan umrah di dalamnya (tahun itu). Dan jika dia mampu untuk melakukan umrah dua atau tiga kali dalam sebulan, aku lebih menyukai baginya yang demikian itu.

Khusus mengenai hukum melakukan umrah berulang kali dalam satu hari pula, Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah dalam kitabnya al-Minhaj al-Qawim menjelaskan bahawa memperbanyak ibadah umrah adalah sunat sekalipun ia dilakukan berulang kali dalam hari yang sama, katanya :

Ertinya : Dan disunatkan memperbanyak umrah walaupun (beberapa kali) dalam satu hari kerana ia lebih utama dari tawaf (sunat) menurut pendapat yang muktamad.

Berdasarkan penjelasan di atas, memperbanyak melakukan umrah walaupun dilakukan berulang kali dalam satu hari adalah amalan yang disunatkan oleh syara' kerana ia lebih utama dari tawaf sunat.