Pendahuluan
PERANTI terjemahan mudah alih ialah alat elektronik bersaiz kecil mudah alih yang direka khusus untuk menterjemah pertuturan dan teks antara bahasa yang berbeza. Ia biasanya kelihatan seperti telefon pintar kecil yang tebal dengan skrin sentuh dan butang khusus untuk merakam pertuturan. Berbeza dengan aplikasi telefon, peranti ini ialah alat tujuan tunggal. Ia selalunya dilengkapi data selular terbina dalam (melalui eSIM atau kad SIM yang telah dimuatkan) supaya ia berfungsi tanpa perlu mencari Wi-Fi atau menggunakan pelan roaming telefon, dan banyak yang menyokong terjemahan luar talian untuk bahasa teras.
Peranti terjemahan selalunya berfungsi dengan menggunakan sistem perbualan suara dua hala. Dengan menekan butang untuk bercakap dalam bahasa asal, peranti terjemahan akan merekod dan kemudian menterjemahkan ke bahasa yang telah ditetapkan dan memainkan terjemahan dengan lantang. Sesetengah model mempunyai mod skrin berbelah supaya kedua-dua bahasa, iaitu bahasa asal dan bahasa yang diterjemah boleh di baca bersebelahan.
Model yang lebih canggih membolehkan pengguna memuat turun pek bahasa terlebih dahulu. Ada sebahagian daripada model atau peranti penterjemahan yang lebih canggih boleh menyokong terjemahan luar talian untuk sebanyak 31 bahasa walaupun pengguna mesti memuat turun setiap pasangan tertentu yang diperlukan, seperti bahasa Inggeris ke bahasa Jepun dan sebaliknya. Ada juga model peranti penterjemah yang mempunyai kamera terbina yang membolehkan pengguna mengambil gambar menu atau papan tanda untuk mendapatkan terjemahan segera pada skrin. Kebanyakan peranti penterjemah terkini disertakan dengan data global percuma untuk tempoh tertentu contohnya, satu hingga dua tahun supaya ia berfungsi secara bebas.
Kelebihan mempunyai peranti penterjemah khas dan perbezaannya dengan aplikasi telefon pintar
Peranti terjemahan khas bukan bertujuan untuk menggantikan telefon, tetapi untuk menyelesaikan keperluan khusus yang tidak dapat dipenuhi oleh aplikasi telefon dalam senario tertentu. Kelebihan utama peranti terjemahan khas ialah ia memberikan pengguna pengalaman perbualan dua hala yang lebih semula jadi. Aplikasi telefon memerlukan pengguna menghulurkan telefon antara satu sama lain, yang memutuskan rentak perbualan. Peranti terjemahan pegang tangan direka untuk diletakkan di atas meja, dengan skrin berpecah dua hala, satu pihak bercakap dan pihak lain melihat skrin atau mendengar suara, tanpa perlu menghulurkan peranti berulang kali. Peranti jenis fon telinga lebih bebas tangan, setiap pengguna memakai satu fon telinga dan terjemahan akan terus dapat didengar dan ini akan dapat membuat pengguna merasa seperti mempunyai jurubahasa profesional di sisi .
Antara kelebihan lain peranti penterjemah khas ialah banyak peranti ini dilengkapi kad SIM terbina dalam atau eSIM, menyediakan data global percuma yang biasanya boleh digunakan selama satu ke dua tahun, tanpa perlu membeli kad SIM tempatan atau menggunakan roaming. Lebih penting lagi, peranti penterjemahan yang lebih canggih akan dapat menyokong terjemahan luar talian, contohnya peranti jenis Timekettle T1 yang menyokong sebanyak 31 pasangan bahasa luar talian, sesuai untuk digunakan di kawasan dengan isyarat lemah atau tanpa rangkaian. Mempunyai peranti penterjemah berasingan memboleh pengguna telefon berasingan. Semasa perbualan, pengguna boleh menggunakan telefon untuk mengambil gambar, melihat peta atau mencatat, tanpa perlu menghentikan penggunaan telefon untuk membuka atau menggunakan aplikasi terjemahan.
Selain itu, peranti penterjemahan khas mudah boleh mengecam suara jarak jauh dan menapis bunyi bising yang boleh mengganggu kualiti bunyi atau suara yang sedang direkod untuk diterjemah. Sebahagian peranti khas (terutamanya fon telinga) dilengkapi pengurangan bunyi berbilang sensor, contohnya peranti penterjemah jenis iFLYTEK mendakwa dapat mencapai kadar ketepatan pengecaman suara 97 peratus dalam persekitaran 80 desibel, dan boleh digunakan dengan perakam untuk pengecaman suara jarak jauh sehingga 20 meter. Ini mempunyai kelebihan praktikal dalam mesyuarat atau suasana luar bilik atau bangunan yang bising.
Teknologi apakah yang digunakan dalam peranti penterjemahan?
Secara ringkasnya, teknologi terjemahan moden terutamanya bergantung kepada Kecerdasan Buatan (AI) untuk melengkapkan satu siri proses: menukar suara kepada teks, menterjemah teks, dan kemudian menjana suara. Peranti khusus dan aplikasi telefon menggunakan prinsip asas yang serupa, tetapi laluan teknikalnya berbeza.
Kebanyakan peranti terjemahan dan aplikasi menggunakan proses tiga langkah ini untuk terjemahan pertuturan. Yang pertama ialah Pengecaman Pertuturan Automatik (ASR) dimana mikrofon menangkap suara pengguna, dan teknologi ASR menukar gelombang bunyi ini kepada teks. Sesetengah peranti akan menggunakan berbilang mikrofon dan algoritma pengurangan bunyi untuk memastikan pengecaman yang tepat dalam persekitaran yang bising.
Proses seterusnya ialah Terjemahan Mesin (MT) dimana teks yang telah dikenali dihantar ke enjin terjemahan untuk ditukar kepada teks bahasa sasaran. Enjin moden (seperti terjemahan neutral) tidak lagi menterjemah perkataan demi perkataan, tetapi akan memahami konteks keseluruhan ayat untuk menjana terjemahan yang lebih semula jadi. Akhir sekali, ialah proses Sintesis Pertuturan (TTS) dimana teks yang telah diterjemah ditukar semula kepada suara melalui teknologi TTS dan dimainkan. Sesetengah peranti akan cuba mengekalkan intonasi dan jeda penutur asal, menjadikan bunyi lebih semula jadi.
Kesimpulan
Sebelum mendapatkan peranti penterjemah khas, pengguna perlu menilai samada ianya berbaloi untuk didapatkan kerana harga yang agak mahal untuk peranti penggunaan tunggal. Jika pengguna hanya memerlukannya untuk tujuan melancong dan untuk kerja-kerja penterjemahan sedikit, mungkin lebih sesuai untuk memuat turun aplikasi penterjemahan percuma ke dalam telefon pintar. Jika pengguna perlu melakukan kerja-kerja penterjemahan seperti untuk penulisan tesis atau kerja-kerja penyelidikan mungkin adalah lebih berbaloi untuk mendapatkan peranti penterjemah khas.