Perniagaan puding signifikan bagi kaum wanita

22 Jul 2026 - 10:53am

PERNIAGAAN makanan merupakan salah satu sektor yang paling dinamik dalam ekonomi tempatan.  Di Negara Brunei Darussalam (NBD), permintaan terhadap produk makanan sentiasa ada memandangkan masyarakat seringkali mengadakan majlis-majlis kekeluargaan yang tidak putus-putus. Ahli keluarga lain lazimnya membawa potluck sebagai tambahan kepada juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Tidak kurang juga jamuan ringkas yang sering diadakan di sekolah-sekolah membuatkan permintaan pencuci mulut sering menjadi pilihan. Antara juadah yang sering diberikan ialah pencuci mulut seperti puding. 

Sehubungan itu mengusahakan perniagaan puding masih signifikan dan menjadi satu peluang keusahawanan terutamanya bagi kaum wanita.

Perniagaan puding memerlukan seseorang itu berkreativiti serta kemahiran kulinari. Perniagaan membuat puding boleh dimulakan dari dapur rumah dengan modal permulaan yang minimum. Faktor ini menjadikannya amat sesuai untuk wanita yang ingin menjana pendapatan sendiri sambil menguruskan tanggungjawab keluarga. Pembuatannya juga agak ringkas dan tidak rumit membuatkan ramai yang berjaya menghasilkan puding yang sedap.

Inilah yang dilaksanakan oleh Dayang Siti Nurul Najibah binti Rani, 26, yang gigih berniaga dari rumah. Bermula dengan modal sebanyak BND30, kini sudah setahun beliau mengusahakan perniagaan puding secara sepenuh masa. Sebelum itu, beliau bekerja separuh masa di Atrium Cafe, The Empire Brunei sebagai Waitress.

Beliau mula minat dalam berniaga kerana sering melihat kedua ibu bapanya berniaga pelbagai kuih muih tradisional. Dari situlah beliau mendapat ilham untuk berniaga pencuci mulut yang moden.

Antara produk yang dijualnya ialah Pudding Custard dan Jelly Character. Selain itu beliau juga menjual Cheesemarie dan Tiramisu. Harga produk beliau serendah 60 sen sehingga BND30 mengikut jenis dan saiz produk.

Setakat ini pendapatan melalui perniagaan puding telah dapat menjadi sumber kewangan yang stabil dalam menyara hidup keluarganya. Dalam perniagaan ini beliau hanya melaksanakannya seorang diri tanpa bantuan pekerja.

Beliau juga selesa melaksanakan pembuatan produknya di rumah memandangkan beliau mempunyai anak yang masih kecil, senang bagi beliau menjaga sendiri dan tidak perlu menghantar ke pusat penjagaan kanak-kanak.

Berniaga puding sememangnya agak mencabar terutama dalam mendapat tempahan yang konsisten. Cabaran yang dihadapi juga ialah memastikan jumlah jualan dan pendapatan kekal stabil atau terus meningkat dari semasa ke semasa. Perlu diketahui juga saingan juga agak banyak kerana ramai yang berniaga puding di negara ini.

Setakat ini beliau belum pernah lagi mengikuti sebarang ekspo akan tetapi pernah menghantar makanan kepada vendor yang menyertai ekspo yang diadakan yang kemudiannya dikenakan potongan sebulan atau 20 peratus dari hasil jualan. Menerima tempahan sendiri dari rumah lebih berhasil jika dibandingkan menghantar ke ekspo kerana semasa ekspo ada risiko kerosakan makanan dalam coolbox.

Segala resipi beliau belajar sendiri dengan melihat resipi dari TikTok. Bahan-bahan untuk membuat puding juga mudah dicari di kedai-kedai runcit, kecuali acuan-acuan jeli ditempah secara online. Bagi mereka yang ingin melihat hasil jualan Dayang Siti Nurul Najibah, bolehlah melayari TikTok @najj dan Thread @pudding_bynajj. Selain itu beliau juga boleh dihubungi melalui WhatsApp +673 8897330.

Segala acuan yang comel inilah menghasilkan pelbagai bentuk puding yang beraneka bentuk yang setentunya dapat memikat selera. Di sinilah ia menuntut kreativiti yang tinggi kepada pembuatnya agar puding mereka sentiasa mendapat permintaan di pasaran.

 

Kesimpulan

 

Perniagaan puding telah membuktikan bahawa untuk memulakan perniagaan tidak semestinya memerlukan modal besar mahupun sebuah premis perniagaan yang gah. Dayang Siti Nurul Najibah telah memberi contoh bagaimana kemahiran di dapur boleh dijadikan sebuah perniagaan mampan dan menguntungkan.

Bagi wanita di NBD, perniagaan ini bukan setakat dapat menjana pendapatan semata-mata. Ia memberi ruang untuk kreativiti serta platform untuk membina jenama sendiri. Sudah ramai peniaga wanita yang membina jenama hanya melalui dapur mereka di rumah.

Dengan perancangan perniagaan yang bijak, perniagaan puding berupaya menjadi pemangkin pada menjana pertumbuhan ekonomi isi rumah dan komuniti.

Kejayaan dalam berniaga puding bukan diukur semata-mata melalui jumlah jualan, tetapi melalui keupayaan untuk membina perniagaan yang beretika, berkualiti dan sentiasa berdisiplin dan tidak berputus asa dalam menaikkan jualan dan memenuhi kehendak pengguna. Ingatlah dapur di rumah biskita juga boleh menjadi titik permulaan produk makanan yang semestinya menjana pendapatan sesebuah keluarga.