Amanah, integriti penjawat awam menjamin kecemerlangan pentadbiran negara

4 Nov 2026 - 11:33am

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Bismillahir Rahmanir Rahim,

Alhamdulillah Rabbil 'Alameen Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbiee Ajma'een, Waba'du.

 

BETA bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan rahmat-Nya jua dapatlah kita berhimpun di Majlis Kemuncak Sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Ke-33, Tahun 2026 pada pagi ini.

Tema baharu yang dipilih iaitu 'Menjulang Kepimpinan dan Kedaulatan Raja : Memacu Perkhidmatan Awam Yang Transformatif'. Tema ini bukan sekadar slogan tetapi satu pengiktirafan tentang hubungan rapat di antara kepimpinan beraja dengan Perkhidmatan Awam di negara ini.

Ianya juga terjemahan kepada asas membentuk kestabilan dan kemajuan negara, berlandaskan falsafah Melayu Islam Beraja sebagai cara hidup, cara berfikir dan cara kita mentadbir dalam kehidupan seharian.

Malah keamanan dan kestabilan yang kita nikmati hari ini adalah berasaskan keyakinan bahawa setiap penjawat awam memahami jawatan mereka bukan semata-mata pekerjaan, tetapi amalan yang dipertanggungjawabkan oleh raja dan negara.

Dalam dunia yang semakin terbuka, kedaulatan sesebuah negara tidak lagi diukur berdasarkan pertahanan fizikal tetapi melalui kekuatan dan keberkesanan pentadbirannya. Oleh itu, Perkhidmatan Awam diibaratkan sebagai benteng kedaulatan.

Ini kerana, apabila seorang penjawat awam menjalankan tugas dengan jujur dan adil, maka bermakna dia mempertahankan kedaulatan negara dari ancaman rasuah, penyalahgunaan kuasa dan keruntuhan institusi.

Alhamdulillah, penghayatan prinsip- prinsip tadbir urus yang baik telah terbukti menerusi pencapaian terbaik negara setakat ini dalam Corruption Perceptions Index (CPI) tahun 2025 terbitan Transparency International yang meletakkan negara pada kedudukan ke-31 daripada 182 buah negara di dunia dan kedua tertinggi di ASEAN selepas Singapura.

Dari sudut mendukung kepimpinan pula, penjawat awam hendaklah menjadikan setiap arahan, hasrat dan wawasan pemimpin sebagai pedoman yang perlu diterjemahkan ke dalam dasar, program dan tindakan yang bersepadu.

Sokongan terhadap kepimpinan bukan sekadar retorik atau simbolik, sebaliknya mesti terpancar melalui kesungguhan kerja dan ketepatan pelaksanaan di setiap peringkat perkhidmatan.

Jangan hanya setakat mendengar, tetapi perlu melaksanakannya dan jangan juga sekadar setuju tetapi perlu menyempurnakannya. Kita semua perlu menyedari bahawa ketika zaman berubah, cabaran orang ramai juga turut berubah dan malah cara kita berkhidmat juga perlu berubah.

Perubahan ini bukan bermakna kelemahan sistem yang sedia ada, sebaliknya bukti kematangan sesebuah negara. Di sinilah Perkhidmatan Awam selaku peneraju transformasi perlu berubah bentuk dan karakter tanpa mengkompromi objektif terasnya untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan mantap serta bermakna kepada masyarakat.

Namun dalam menerajui transformasi ini, sama ada digitalisasi, penambahbaikan penyampaian perkhidmatan, mahupun pembangunan modal insan, kita adalah perlu sentiasa kembali kepada persoalan asas iaitu adakah perkhidmatan kita telah benar-benar memudahkan kehidupan rakyat dan menzahirkan kesetiaan terhadap raja dan negara?

Jika ya, teruskanlah dengan penuh keyakinan dan jika masih ada jurang maka perbaikilah dengan tindakan dan bukan keluhan. Oleh yang demikian beta ingin berpesan jadilah penjawat awam yang taat kepada arahan, bijaksana dalam pelaksanaan, pantas menerima perubahan dan teguh berpegang kepada nilai.

Dengan cara inilah, kita dapat memastikan kedaulatan negara terus terpelihara, kepimpinan raja terus didukung sepenuh hati dan Perkhidmatan Awam Negara Brunei Darussalam terus relevan untuk semua peringkat zaman.

Akhirnya, beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima anugerah pada tahun ini. Semoga pengiktirafan ini menjadi sumber inspirasi dan dorongan kepada seluruh penjawat awam untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan dengan penuh keikhlasan, dedikasi dan amanah.

Setinggi penghargaan juga turut ditujukan kepada seluruh warga Perkhidmatan Awam, sama ada yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara serta kepada semua pihak yang telah menjayakan Sambutan HPA pada tahun ini.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.