Bismillahir Rahmanir Rahim.
Alhamdulillahi Rabbil 'Alameen,
Wasaalatu Wassalaamu 'Ala Asyrafil Ambiae Walmursaleen,
Saidina Muhammadin Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajama'een.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Salam Sejahtera dan Selamat Pagi.
IA merupakan satu penghormatan dan keistimewaan yang besar untuk bersama awda semua pada hari ini di Simposium Penjagaan Kesihatan Berteraskan Kasih Sayang (Compassionate Healthcare Symposium) yang julung kali diadakan ini.
Penjagaan kesihatan yang penuh ihsan bermaksud menggabungkan kecemerlangan klinikal dengan sifat ihsan, empati, dan rasa hormat bagi memastikan setiap pesakit bukan sahaja menerima rawatan, malah turut berasa didengari, difahami, dan benar-benar diberikan perhatian serta penjagaan yang sewajarnya.
Di Pusat Perubatan Jerudong Park (Jerudong Park Medical Centre), perkara ini merupakan teras kepada usaha dan matlamat kami. Misi kami adalah untuk memberikan penjagaan yang cemerlang, berkualiti tinggi dan penuh ihsan. Sifat ihsan kekal sebagai salah satu nilai teras kami, bukan sahaja terhadap pesakit dan keluarga mereka, malah terhadap rakan sekerja di kedua-dua bahagian klinikal dan bukan klinikal. Memandangkan bidang penjagaan kesihatan menjadi semakin kompleks, profesionalisme, komunikasi yang berkesan dan sifat ihsan menjadi lebih penting daripada sebelumnya bagi memastikan penjagaan yang kami berikan sentiasa menghormati, penuh empati dan benar-benar berteraskan pesakit.
Kemajuan dalam peralatan perubatan, ubat-ubatan, sistem digital, data dan teknologi baharu terus meningkatkan standard penjagaan kesihatan, mempertingkatkan kecekapan serta kualiti penjagaan yang diberikan. Namun demikian, walaupun kemajuan ini amat penting, kita tidak boleh sesekali mengabaikan elemen paling asas dalam penjagaan kesihatan, iaitu hubungan sesama insan.
Pasti akan tiba saatnya apabila keluarga menerima berita yang amat menyedihkan, jururawat mengharungi syif kerja yang panjang dan mencabar serta golongan profesional penjagaan kesihatan sendiri mengalami keletihan dan kelesuan melampau. Pada saat-saat sebegini, kita diingatkan bahawa penjagaan kesihatan bukan sekadar soal menguruskan katil hospital, memberikan ubat-ubatan atau memanfaatkan teknologi baharu. Pada hakikatnya, penjagaan kesihatan adalah tentang insan yang menjaga insan lain iaitu memahami kesakitan dan penderitaan orang lain serta bertindak balas dengan penuh empati, maruah dan ihsan.
Simposium ini merupakan peluang penting untuk kita merenung makna sebenar penjagaan yang penuh ihsan. Ihsan bukan sekadar perbuatan baik atau layanan mesra. Ia turut terserlah melalui cara kita mendengar, berkomunikasi, memberikan respons dan yang paling penting, melalui perasaan yang kita timbulkan dalam diri pesakit ketika mereka menghadapi antara saat yang paling sukar dalam kehidupan mereka.
Oleh itu, penjagaan yang berpusatkan pesakit mestilah lebih daripada sekadar satu pernyataan misi. Ia menuntut kita untuk memahami ketakutan, keperluan, kebimbangan dan harapan setiap individu di bawah jagaan kita. Apabila pesakit memasuki hospital, ramai antara mereka berada dalam keadaan yang paling terdedah dan memerlukan bantuan. Mereka meletakkan kepercayaan kepada kita dengan sesuatu yang paling berharga bagi mereka, nyawa mereka sendiri serta nyawa insan-insan yang mereka sayangi. Justeru, kita tidak seharusnya memandang rendah kesan daripada perkara-perkara kecil yang kita lakukan setiap hari. Perubatan merawat penyakit, namun sifat ihsanlah yang menyantuni insan itu sendiri.
Sifat ihsan tidak seharusnya terhad kepada pesakit sahaja, malah perlu diamalkan sesama kita. Bidang penjagaan kesihatan menuntut komitmen yang tinggi, baik dari segi fizikal mahupun emosi. Oleh itu, kita memikul tanggungjawab bersama untuk saling menyokong dan mewujudkan persekitaran di mana warga profesional kesihatan kita berasa dihargai, dihormati dan diberi perhatian sewajarnya. Dengan menjaga kebajikan mereka yang memberikan penjagaan, kita memperkukuh keupayaan kita untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang penuh ihsan dan berteraskan pesakit.
Memandangkan ramai antara awda kini memikul tanggungjawab yang lebih besar serta peranan kepimpinan dalam bidang masing-masing, saya menyeru awda untuk sentiasa ingat bahawa kepimpinan yang penuh ihsan adalah kunci utama dalam membina institusi penjagaan kesihatan yang penyayang. Budaya penjagaan yang penuh ihsan bermula daripada cara kita memimpin, cara kita bekerjasama dan cara kita saling menyokong. Cara kita memimpin dan menyokong pasukan kita akhirnya akan mencorakkan pengalaman pesakit yang kita santuni.
Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin merakamkan penghargaan yang tulus kepada Pasukan Patient-Centred Care, Pasukan Sumber Manusia, para penceramah yang dihormati, serta semua pihak yang terlibat atas komitmen dan usaha gigih mereka dalam menjayakan simposium ini.
Saya menggalakkan awda semua untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang ini untuk menimba ilmu, berkongsi pengalaman dan pandangan, serta membawa pulang segala pengajaran ini ke dalam bidang tugas masing-masing.
Yang paling utama, saya berharap agar sifat ihsan tidak sekadar menjadi tema simposium pada hari ini, malah terus memandu tindakan kita setiap hari sama ada dalam cara kita menjaga pesakit, menyokong keluarga mereka, mahupun melayan satu sama lain.
Marilah kita bersama-sama terus memperkukuh sistem penjagaan kesihatan yang bukan sahaja cemerlang dari segi klinikal, malah sarat dengan sifat ihsan, demi memberikan penjagaan terbaik kepada rakyat Brunei Darussalam.
Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.