WASHINGTON, 28 Okt. - Seorang lelaki Ukraine dijatuhi hukuman penjara 70 bulan atas peranannya dalam serangan perisian tebusan yang menyebabkan kerugian lebih US$100 juta kepada pelbagai entiti di seluruh dunia, menurut Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) pada Selasa, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Artem Stryzhak, 36, warga Ukraine, dijatuhi hukuman penjara 70 bulan hari ini kerana berkomplot melakukan penipuan komputer berkaitan beberapa siri serangan perisian tebusan yang menyasarkan hospital, agensi kerajaan, firma guaman dan perniagaan lain di seluruh dunia," menurut Pejabat Hal Ehwal Awam DOJ dalam satu kenyataan media.
Menurut pejabat itu, Stryzhak terlibat dalam beberapa kumpulan perisian tebusan yang menyasarkan kira-kira 1,500 mangsa di seluruh dunia, termasuk kemudahan penjagaan kesihatan ketika pandemik COVID-19, dengan serangan itu menyebabkan kerugian kewangan lebih US$100 juta.
"Kumpulan ini mengganggu perkhidmatan penjagaan pesakit dan menyebabkan kerugian lebih US$100 juta. Hukuman yang dijatuhkan hari ini mencerminkan betapa seriusnya jenayah yang dilakukan oleh Stryzhak dan membuktikan keupayaan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) untuk menjalankan operasi di seluruh dunia," kata Pengarah Operasi Cawangan Siber FBI Brett Leatherman.
Stryzhak ditahan di Sepanyol pada Jun 2024 dan diekstradisi ke AS pada April 2025. Dia mengaku bersalah pada Disember tahun sama atas dua pertuduhan berkomplot melakukan penipuan, pemerasan dan kegiatan berkaitan komputer.
DOJ turut memaklumkan bahawa Jabatan Negara AS menawarkan ganjaran sehingga US$11 juta bagi maklumat yang membawa kepada penangkapan atau sabitan terhadap Volodymyr Tymoshchuk, yang disyaki bersubahat dengan Stryzhak, atau maklumat mengenai keberadaannya. - ©BERNAMA