SEOUL, 28 Okt. - Korea Selatan akan menarik balik larangan penyimpanan stok berlebihan urea, larutan urea, picagari dan jarum suntikan perubatan yang dikuatkuasakan awal tahun ini susulan kebimbangan terhadap bekalan akibat perang di Asia Barat, berikutan bekalan dan stok kembali stabil, lapor Agensi Berita Yonhap yang memetik Kementerian Kewangan pada Rabu.
Kementerian Kewangan dan Ekonomi mengumumkan keputusan itu pada mesyuarat menteri berkaitan ekonomi, dengan memaklumkan bahawa larangan penyimpanan stok berlebihan urea dan larutan urea yang diperkenalkan pada Mac akan tamat pada penghujung bulan ini.
Sekatan terhadap penyimpanan picagari dan jarum suntikan perubatan yang berkuat kuasa sejak April juga akan ditarik balik. Urea digunakan untuk mengurangkan pelepasan bahan pencemar daripada kenderaan diesel serta menghasilkan baja pertanian.
Di bawah larangan itu, syarikat tidak dibenarkan menyimpan stok melebihi 200 peratus daripada purata jualan bulanan tahun lalu selama tujuh hari atau lebih bagi produk urea dan lima hari bagi bekalan perubatan.
"Memandangkan bekalan domestik kekal stabil dan tiada tanda aktiviti penyimpanan stok berlebihan atau gangguan terhadap pasaran, kerajaan akan menamatkan larangan itu," menurut kementerian berkenaan.
Bagaimanapun, kementerian itu memaklumkan bahawa kerajaan akan terus memantau keadaan bekalan, termasuk paras stok dan harga, serta segera mempertimbangkan langkah menangani sebarang risiko gangguan bekalan walaupun larangan telah tamat. - ©BERNAMA