4 maut, 10 cedera dalam nahas jalan raya di selatan Peru

28 Okt 2026 - 9:08am

LIMA, 28 Okt. - Empat orang terkorban dan sekurang-kurangnya 10 yang lain cedera pada pagi Selasa apabila tiga kenderaan bertembung di Lebuh Raya Pan-Amerika bahagian selatan, di wilayah Arequipa, Peru, lapor Xinhua.

Menurut agensi berita negara Andina, kemalangan itu berlaku di sektor Chira, Wilayah Camana, melibatkan sebuah bas antara wilayah, sebuah kenderaan pikap serta sebuah trak kargo berat.

Bas yang dikendalikan syarikat Julsa itu berlepas dari ibu negara, Lima, pada petang Isnin menuju ke bandar Arequipa, manakala kenderaan pikap tersebut merupakan teksi kongsi yang berkhidmat di kawasan perlombongan Secocha.

Menurut polis, pikap berkenaan remuk sepenuhnya setelah tersepit antara treler trak kargo yang sedang bergerak dari utara ke selatan dengan bas antara wilayah itu yang datang dari arah bertentangan.

Pasukan Polis Kebangsaan dan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian untuk membantu mangsa yang kemudiannya dibawa ke Hospital Camana.

Aliran trafik di Lebuh Raya Pan-Amerika bahagian selatan terganggu selama beberapa jam sementara pihak berkuasa menjalankan prosedur undang-undang dan siasatan bagi mengenal pasti punca kemalangan. - ©BERNAMA