19 patogen dikaitkan dengan 50,800 kematian setahun di AS

28 Okt 2026 - 9:07am

LOS ANGELES, 28 Okt. - Sebanyak 19 patogen dianggarkan menyebabkan 9.7 juta kes jangkitan dan 50,800 kematian setiap tahun di Amerika Syarikat (AS), menurut laporan terkini Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) yang dikeluarkan pada Selasa, lapor Xinhua.

Laporan Ancaman Rintangan Antimikrob 2026 itu menyediakan anggaran paling komprehensif setakat ini mengenai kesan bakteria dan kulat yang mempunyai kerintangan terhadap ubat, selain Clostridioides difficile (C. diff), sejenis bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan usus yang serius, menurut CDC.

Laporan itu mengklasifikasikan 19 patogen berkenaan mengikut tahap ancaman terhadap kesihatan awam di AS, dengan empat dikategorikan sebagai ancaman mendesak, 13 ancaman serius dan dua lagi ancaman yang membimbangkan.

Empat patogen yang dikategorikan sebagai ancaman mendesak ialah Candida auris (C. auris), Acinetobacter yang rintang terhadap karbapenem, Enterobacterales yang rintang terhadap karbapenem serta Neisseria gonorrhoeae yang rintang terhadap ubat.

Menurut laporan itu, jangkitan C. auris yang rintang terhadap ubat meningkat 10 kali ganda sejak 2019, dengan sesetengah strain didapati rintang terhadap semua kelas ubat antikulat yang tersedia.

"Kerintangan antimikrob mengancam perubatan moden dan mendedahkan jutaan rakyat Amerika kepada risiko setiap tahun.

"Data berkualiti tinggi membantu mendorong tindakan dan CDC komited menyediakan maklumat yang mudah diakses bagi melindungi orang ramai daripada jangkitan yang rintang terhadap ubat," kata Pengarah CDC Erica Schwartz seperti dipetik media AS. - ©BERNAMA