Usaha memartabatkan pencak silat sebagai warisan budaya

20 Sep 2026 - 5:23am

Oleh : Marlinawaty Hussin

Foto : Azmah Haji Ahad

BERAKAS, Sabtu, 19 September. - Kejohanan Pencak Silat Peringkat Kebangsaan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026 melabuhkan tirai malam tadi selepas berlangsung selama enam hari, dari 14 hingga 19 September 2026, di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, di sini.

Berangkat ke Majlis Penutupan Rasmi kejohanan berkenaan selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Abdul Wadood Bolkiah bin Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.

Majlis dimulakan dengan upacara perarakan dan penyarungan keris, diikuti dengan perlawanan-perlawanan peringkat akhir bagi acara yang dipertandingkan.

Seramai 147 peserta mewakili tujuh kontinjen menyertai kejohanan berkenaan, iaitu Daerah Brunei dan Muara (DBM), Daerah Belait, Daerah Tutong, Daerah Temburong, Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB), Majlis Sukan Pasukan Polis Diraja Brunei (MS PPDB) dan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam (MS SSBD).

Para peserta berentap dalam lima acara, iaitu Cakak Asli Brunei, Kuntau Melayu, Tanding, Seni Antarabangsa dan Seni Festival.

Pada peringkat akhir, para pesilat daripada kontinjen yang mengambil bahagian berentap bagi merebut gelaran juara dalam kategori masing-masing antaranya Kategori Seni Cakak Asli Brunei, Kategori Kuntau Melayu Lelaki Dewasa, Kategori Tanding Putra Remaja Lelaki, Kategori Tanding Putra Dewasa Lelaki dan Kategori Seni Festival Berkelompok.

Bagi acara Kategori Cakak Asli Brunei, tempat pertama dimenangi oleh Awang Muhammad Akmal Shafiq bin Mohamad Sairual Rizal dari Daerah Temburong, diikuti 53286 SLD Juzaili bin Abdullah dari MS ABDB di tempat kedua, manakala tempat ketiga dimenangi bersama oleh Awang Arif bin Yahya @ Johari dari Daerah Belait dan Awang Md. Firas Naim bin Md. Syamsuddin dari MS SSBD.

Bagi Kategori Kuntau Melayu, Awang Muhammad Nizamuddin bin Fairulman dari Daerah Belait muncul juara, diikuti PC 6315 Mohammad Zulfaizal bin Zanidi dari MS PPDB di tempat kedua, manakala tempat ketiga dimenangi bersama oleh 55791 SLD Mohammad Hazim bin Ramliee dari MS ABDB dan Awang Mohamad Hawwari bin Mohamad Masuni dari DBM.

Dalam Kategori Tanding Putra Remaja Kelas ‘C’, Awang Md. Asyraf Syafiee bin Norazrin dari MS SSBD muncul juara, manakala Awang Muhammad Syafiy Nasrullah bin L Menga dari Daerah Belait di tempat kedua, sementara tempat ketiga dimenangi bersama oleh Awang Muhd. Hazmi Akmal bin Md. Iman Safwan dari Daerah Tutong dan Awang Muhammad Wazien bin Rosman dari DBM.

Sementara itu bagi Kategori Tanding Putra Dewasa Kelas ‘C’, Awang Yaswantnaoah bin Yalim dari Daerah Tutong meraih tempat pertama, diikuti 55796 SLD Awangku Md. Nabil Mirza bin Pengiran Md. Fazillah di tempat kedua, manakala Awang Md. Firdaus bin Muhidi dari DBM pula menduduki tempat ketiga.

Majlis turut diserikan dengan persembahan Seni Cakak Asli Brunei dan Kuntau Melayu yang mengetengahkan elemen warisan seni bela diri tradisional Brunei.

Persembahan berkenaan mencerminkan usaha berterusan dalam memartabatkan seni bela diri tradisional sebagai sebahagian daripada warisan dan identiti budaya Negara Brunei Darussalam (NBD).

Kemuncak majlis diteruskan dengan penyampaian Perisai Kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta Kurnia Iringan kepada para penerima.

Penganjuran kejohanan berkenaan bukan sahaja menjadi medan bagi para pesilat untuk menguji dan memperlihatkan kemahiran serta keupayaan masing-masing di peringkat kebangsaan, malah turut menyumbang kepada usaha memartabatkan pencak silat sebagai salah satu warisan budaya dan sukan yang mempunyai nilai tradisi serta identiti tersendiri di negara ini.

Kejohanan berkenaan turut menjadi platform bagi memperkukuh semangat kesukanan, disiplin, perpaduan dan persahabatan dalam kalangan pesilat serta pegawai daripada tujuh kontinjen yang mengambil bahagian.

Dengan berakhirnya kejohanan, para peserta turut memperoleh pengalaman dan pendedahan melalui pertandingan di peringkat kebangsaan, di samping berpeluang mempertingkatkan prestasi serta terus mengembangkan bakat dan potensi dalam bidang pencak silat.

Kejohanan Pencak Silat Peringkat Kebangsaan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Ke-80, Tahun 2026 berakhir dengan harapan agar penganjuran seumpamanya akan terus menyumbang kepada perkembangan, memperkasa dan pemeliharaan seni pencak silat di NBD.