Usaha ketengahkan rekreasi, sukan permotoran lasak

26 Sep 2026 - 4:59am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Hernie Suliana Haji Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 25 September. - Acara Kilanas 4x4 Baluai Offroad Challenge 3.0 anjuran Biro Eksplorasi, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kilanas telah berlangsung selama tiga hari, bermula hari ini hingga 27 September 2026, bertempat di Trek 4x4 Jalan Dadap, Bukit Dadap, Kampung Kilanas.

Penganjuran acara berkenaan merupakan antara usaha untuk mengetengahkan aktiviti rekreasi dan sukan permotoran lasak sebagai salah satu tarikan pelancongan, di samping memperkenalkan kawasan Bukit Dadap dan Kampung Kilanas sebagai lokasi yang mempunyai potensi untuk aktiviti rekreasi dan pelancongan komuniti.

Acara berkenaan turut diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2026, sekali gus memberi peluang kepada komuniti dan para pengunjung untuk menyaksikan sendiri aktiviti sukan permotoran lasak yang dijalankan dalam suasana alam semula jadi.

Sambutan terhadap edisi kali ketiga berkenaan amat menggalakkan dengan penyertaan sebanyak 44 buah kenderaan, yang terdiri daripada 28 peserta bagi Kategori Super Novice dan 16 peserta bagi Kategori Hard Core. Penyertaan turut melibatkan peserta dari Sabah, Malaysia dan Republik Indonesia, selain peserta tempatan.

Pertandingan dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Kategori Super Novice dan Kategori Hard Core, dengan para peserta diuji melalui laluan dan seksyen khas (Special Stage) yang mempunyai pelbagai bentuk cabaran.

Antara aspek yang dinilai dalam pertandingan ialah kemahiran pemanduan, kawalan kenderaan, pemilihan laluan, keupayaan mengatasi halangan serta catatan masa. Laluan berlumpur dan bentuk muka bumi yang mencabar turut menjadi antara tarikan utama sepanjang pertandingan.

Selain mengetengahkan sukan pacuan empat roda, penganjuran acara berkenaan turut memberi ruang kepada vendor-vendor tempatan untuk menjalankan perniagaan sepanjang tiga hari acara.

Penglibatan vendor tempatan berkenaan secara tidak langsung membantu merancakkan aktiviti ekonomi setempat serta memberi peluang kepada usahawan kecil untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka kepada para pengunjung yang hadir.

Penganjuran Kilanas 4x4 Baluai Offroad Challenge 3.0 juga menjadi platform untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan komuniti peminat pacuan empat roda, selain memupuk semangat kerjasama dan kesukanan antara peserta, pihak penganjur dan komuniti setempat.

Acara berkenaan diharap dapat diteruskan sebagai salah satu aktiviti tahunan yang mampu mengetengahkan Kampung Kilanas dan kawasan Bukit Dadap sebagai lokasi rekreasi, sukan lasak dan pelancongan komuniti di Negara Brunei Darussalam.