UBD 'A' juara Kejohanan Bola Sepak sempena Hari Guru

28 Sep 2026 - 7:46am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Azmah Haji Ahad

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 27 September. - Pasukan UBD 'A' muncul juara Peringkat Akhir Kejohanan Bola Sepak Tujuh Sepasukan sempena Sambutan Hari Guru Ke-36, Tahun 2026 yang berlangsung pagi tadi di Padang Sekolah Rendah Mabohai.

Pasukan Gabungan IRK Rendah Kerajaan muncul naib johan, manakala tempat ketiga disandang oleh pasukan Gabungan Guru-Guru Ugama.

Kejohanan berkenaan dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Kokurikulum selaku Jawatankuasa Acara-Acara Sukan bagi Sambutan Hari Guru.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar.

Sebanyak 24 pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan pada tahun ini yang dibukakan kepada pegawai dan kakitangan, termasuk tenaga pengajar yang sedang berkhidmat di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama, khususnya daripada Jabatan Pengajian Islam, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Kejohanan ini merupakan salah satu aktiviti sukan dan riadah yang dianjurkan bagi menyemarakkan dan memeriahkan lagi Sambutan Hari Guru Ke-36, Tahun 2026.

Antara tujuan kejohanan ini adalah untuk meningkatkan daya saing dan penglibatan aktif warga Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama, selain itu ia juga diharap dapat memupuk semangat keharmonian dan silaturahim antara kakitangan kedua-dua kementerian.