Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BERAKAS, Sabtu, 19 September. - Pasukan SM SMJA (A) menjuarai Kejohanan Akhir Liga Futsal setelah berjaya menewaskan pasukan Maktab SOAS dengan kedudukan 1 – 0, sekali gus menempatkan pasukan Maktab SOAS sebagai naib juara, sementara tempat ketiga bersama masing-masing milik SM Rimba 2 dan SM Menglait.
Kejohanan yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, petang tadi, di sini, adalah bersempena dengan Sambutan Jubli Intan 75 Tahun penubuhan Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SM SMJA) yang ditubuhkan pada 1951.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan (Korporat), Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Awang Mohammad Danny bin Aimi.
Kejohanan berkenaan bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara warga sekolah menengah, di samping memupuk semangat kesukanan, kerjasama berpasukan, disiplin dan persaingan sihat dalam kalangan para pelajar.
Selain pasukan tuan rumah, sebanyak lapan buah sekolah menengah turut menyertai kejohanan berkenaan yang diadakan pada 14 dan 16 September 2026, iaitu SM Rimba I, SM Rimba II, SM Sultan Sharif Ali, Maktab SOAS, SM Sayyidina Abu Bakar, St. Andrew's School, SM Berakas dan SM Menglait.
Penyertaan sekolah-sekolah berkenaan mencerminkan semangat perpaduan dan kerjasama antara institusi pendidikan dalam menjayakan aktiviti kokurikulum, khususnya dalam bidang sukan.
Kejohanan berkenaan juga menjadi platform bagi para pelajar untuk mengetengahkan bakat dan kemahiran dalam sukan futsal, sekali gus memberikan pengalaman berharga dalam suasana pertandingan yang kompetitif serta menggalakkan amalan gaya hidup aktif dan sihat.
Perlawanan yang telah berlangsung pada 14 dan 16 September 2026 berkenaan menyaksikan penyertaan pasukan-pasukan sekolah yang bersaing untuk merebut tempat ke peringkat akhir. Kemuncak kejohanan berlangsung pada hari ini, bagi menentukan pasukan yang dinobatkan sebagai juara Kejohanan Liga Futsal Jubli Intan SM SMJA 2026.
Melalui penganjuran kejohanan berkenaan, SM SMJA berharap agar hubungan erat antara sekolah-sekolah yang mengambil bahagian dapat terus diperkukuh, di samping menyemarakkan lagi Sambutan Jubli Intan 75 Tahun sekolah tersebut.
Sambutan bersejarah berkenaan bukan sahaja menjadi wadah untuk mengenang perjalanan dan pencapaian SM SMJA sepanjang 75 tahun penubuhannya, malah turut mencerminkan komitmen berterusan sekolah dalam melahirkan generasi pelajar yang seimbang dari segi akademik, sahsiah dan kokurikulum.