Semangat ukhuwah diperkukuh melalui perlawanan badminton persahabatan

22 Sep 2026 - 5:12am

Berita dan Foto : Ihsan Satria Shuttlers

 

LABUAN, Isnin, 21 September. - Satria Shuttlers (SS) dan Mutiara Badminton Club (MBC), Wilayah Persekutuan Labuan, mengeratkan hubungan persahabatan menerusi Perlawanan Badminton Persahabatan yang berlangsung di Dewan Dato Sri Goh, Wilayah Persekutuan Labuan, baru-baru ini.

Perlawanan persahabatan ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan persahabatan antara kedua-dua pasukan, di samping memperkukuhkan lagi silaturahim dan hubungan baik antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Malaysia, khususnya melalui bidang sukan.

Lebih bermakna, perlawanan tersebut merupakan kali pertama SS mengadakan perlawanan badminton persahabatan di luar negara.

Penyertaan ini memberikan pengalaman dan kenangan bermakna kepada seluruh ahli pasukan SS, selain membuka peluang untuk membina jaringan persahabatan dengan kelab-kelab badminton di luar NBD.

Rombongan SS diketuai oleh Pengurus SS, Awang Abbas Tanjong.

SS juga merancang untuk meneruskan usaha mengadakan Perlawanan Badminton Persahabatan bersama kelab-kelab dan pasukan badminton yang lain pada masa akan datang, sebagai salah satu usaha untuk memperluaskan jaringan persahabatan serta memupuk semangat kesukanan dan silaturahim.

Pihak SS turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada MBC, Wilayah Persekutuan Labuan atas sambutan, layanan mesra dan persahabatan yang diberikan sepanjang kunjungan berkenaan.