Rogue, BDS Owlettes ungguli Kejohanan Bola Jaring Hari Guru Ke-36

28 Sep 2026 - 7:56am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Mohammad Hasif Matzin

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 27 September. - Pasukan Rogue dan BDS Owlettes masing-masing muncul juara Kategori Terbuka dan Kategori Beginners pada Peringkat Akhir Kejohanan Bola Jaring sempena Sambutan Hari Guru Ke-36, Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Serbaguna (MPH), Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, hari ini.

Sementara itu, naib juara Kategori Terbuka disandang oleh IPT dan tempat ketiga diraih oleh JPI.

Bagi Kategori Beginners, naib juara dimenangi oleh NBF dan JPI di tempat ketiga.

Kejohanan berkenaan dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Kokurikulum selaku Jawatankuasa Acara-Acara Sukan bagi Sambutan Hari Guru, dengan kerjasama Persatuan Bola Jaring Brunei Darussalam (BNA).

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr. Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.

Kejohanan tersebut dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Kategori Beginners yang disertai empat pasukan dan Kategori Terbuka yang disertai lapan pasukan.

Penyertaan kejohanan dibuka kepada pegawai dan kakitangan, termasuk tenaga pengajar yang sedang berkhidmat di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), khususnya dari Jabatan Pengajian Islam, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Kejohanan Bola Jaring berkenaan merupakan salah satu aktiviti sukan dan riadah yang dianjurkan bagi menyemarakkan dan memeriahkan lagi Sambutan Hari Guru Ke-36, Tahun 2026.

Antara tujuan kejohanan adalah untuk menggalakkan warga Kementerian Pendidikan dan KHEU agar bergiat aktif serta berdaya saing dalam bidang sukan, di samping memupuk semangat harmoni dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga kedua-dua kementerian.