Rimba Star FC berjaya tumpaskan Lun Bawang FC

26 Sep 2026 - 4:53am

Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan

BERAKAS, Jumaat, 25 September. - Saingan Liga Super Brunei 2026/2027 diteruskan lagi malam tadi dengan menyaksikan pertembungan antara Rimba Star FC menentang Lun Bawang FC yang berlangsung di Kompleks Padang dan Balapan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, di sini.

Dalam perlawanan yang memasuki minggu kedua bagi musim 2026/2027 berkenaan memperlihatkan kedua-dua pasukan berusaha menampilkan permainan terbaik mereka dengan saling berbalas serangan ke atas kubu pertahanan lawan masing-masing sedari awal perlawanan dimulakan.

Walau bagaimanapun Rimba Star FC yang tampil lebih garang pada separuh masa pertama perlawanan, berjaya mendahului Lun Bawang FC dengan jaringan 3-2.

Memasuki pada separuh masa kedua perlawanan, corak permainan agresif daripada kedua-dua pasukan ternyata dapat kelihatan dengan cubaan melakukan serangan demi serangan.

Meskipun Rimba Star FC lebih mendominasi permainan pada permulaan permainan pada babak kedua namun Lun Bawang FC tidak leka untuk menyusun strategi bagi mencari celah kelemahan pasukan lawan dan akhirnya berjaya menjaringkan gol penyamaan menjadi 3-3.

Terkesan dengan jaringan berkenaan, Rimba Star FC terus menggandakan usaha mereka dengan melakukan beberapa siri serangan berbahaya ke kubu pertahanan Lun Bawang FC.

Usaha berkenaan ternyata mendatangkan hasil apabila Oscar Chinenye Uchendu berjaya menjaringkan gol keempat buat Rimba Star FC menerusi sepakan penalti yang disudahi dengan sempurna setelah rakan sepasukannya, Habeebulahi Ishola Olaiya dijatuhkan dalam petak penalti Lun Bawang FC.

Tidak lama setelah itu, Oscar Chinenye Uchendu sekali lagi berjaya menerobos masuk gol kelima buat Rimba Star FC setelah berhasil menyambut baik hantaran lintang daripada rakan sepasukannya lalu merembat masuk gol dengan bergaya.

Sekali lagi kubu pertahanan Lun Bawang FC dikejutkan hanya dalam hitungan beberapa minit apabila Mohammad Aaiman Muqmin Haji Baharuddin berjaya menjaringkan gol keenam buat Rimba Star FC.

Seperti sudah berputus asa, Lun Bawang FC terpaksa akur apabila Muhammad Faiq Shakrani berjaya menjaringkan gol ketujuh buat Rimba Star FC.

Keputusan Rimba Star FC, tujuh dan Lun Bawang FC, tiga kekal hingga ke wisel penamat permainan dibunyikan oleh pengadil sekali gus memberikan tiga mata penuh berharga buat Rimba Star FC.

Dengan kemenangan pada perlawanan berkenaan, Rimba Star FC kini mencatatkan kemenangan pertama bagi saingan Liga Super Brunei musim ini manakala Lun Bawang FC pula masih gagal memperoleh sebarang mata setelah kalah dalam dua perlawanan pertama mereka.