Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Belia dan Sukan
TEMBURONG, Ahad, 27 September. - Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Cawangan Daerah Temburong dengan kerjasama Persatuan Badminton Kebangsaan Brunei Darussalam (PBKBD) telah menganjurkan Program Gemilang Sukan Badminton, yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Kampung Batu Apoi, di sini.
Program berkenaan telah disertai 26 peserta dari Daerah Temburong yang berumur 23 tahun ke bawah dengan bimbingan daripada jurulatih persatuan yang bertauliah serta mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam bidang sukan badminton.
Program memberi penekanan kepada pengenalan dan pemahaman asas sukan badminton, termasuk teknik memegang raket yang betul, posisi dan pergerakan asas, teknik servis, pukulan ‘forehand’ dan ‘backhand’, pukulan ‘lob’, ‘net shot’, asas pergerakan di gelanggang serta perlawanan persahabatan.
Selain aspek teknikal, para peserta juga diberikan pendedahan mengenai peraturan asas permainan, etika dan disiplin dalam sukan, keselamatan semasa menjalani latihan serta kepentingan pemanasan badan dan kecergasan fizikal.
Majlis diakhiri dengan Majlis Penyampaian Sijil kepada para peserta program yang disampaikan oleh Ketua Cawangan JBS Temburong, Syed Abdul Mu'iz bin Haji Syed Anayatullah Shah.
Program berkenaan diharap dapat menjadi platform awal dalam mencungkil bakat-bakat baharu dan berpotensi dalam kalangan golongan belia muda di Daerah Temburong serta mewujudkan minat yang berterusan terhadap sukan badminton.
Selain itu, program juga diharapkan dapat menggalakkan para peserta untuk terus aktif bersukan dan seterusnya menyertai program atau latihan badminton secara berterusan.