Penyertaan inklusif warnai Acara Badminton BDSG 2026

22 Nov 2026 - 6:39am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

PULAIE, Sabtu, 21 November. - Kementerian Pendidikan pada hari ini telah mengadakan Majlis Penyampaian Pingat Acara Badminton sempena Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam (BDSG 2026) Kali Ke-3, bertempat di Dewan Sukan, Sekolah Sukan, Kampung Pulaie.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian pingat kepada para pemenang, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan, Dr. Eddy Fadzlin bin Haji Amdan.

Acara badminton telah mempertandingkan sebanyak enam pingat emas, iaitu Kategori Perseorangan Lelaki dan Kategori Perseorangan Perempuan, Kategori Beregu Lelaki dan Kategori Beregu Perempuan serta Kategori Beregu Unified Lelaki dan Kategori Beregu Unified Perempuan yang melibatkan penyertaan pelajar atlet berkeperluan khas.

Keputusan bagi acara badminton adalah seperti berikut, iaitu pingat emas bagi Kategori Perseorangan Lelaki dan Kategori Perseorangan Perempuan, masing-masing dimenangi dari kontinjen Kluster 5, iaitu Awang Abdul Lubawi Khairul Anwar dan Dayang Noor Rayhanaa Mohd. Sofian.

Manakala bagi Kategori Beregu Lelaki, pingat emas dijuarai oleh Ashton Lee Jun Yi dan Callum Fong Yew Jiun dari kontinjen Kluster 1; sementara Kategori Beregu Perempuan pula dimenangi oleh kontinjen Kluster 5 yang diwakili oleh Dayang Adelia Zhufairah Harun dan Dayang Siti Nurharisah Humaira Mohd. Sukimi.

Sementara itu, wakil kontinjen Kluster 4, Awang Md. Nur Ramadhani Firdaus Abdullah dan Awang Muhd. Ahsan Al Amin Mohd. Rudi pula meraih pingat emas setelah menjuarai Kategori Beregu Unified Lelaki; manala Kategori Beregu Unified Perempuan pula dimenangi oleh wakil kontinjen Kluster 2, iaitu Dayang Nur Ameerah Munirah Abd. Karim dan Dayang Nur Zalifah Aswanna Faizal.

Sebanyak lima acara sukan yang dipertandingkan pada BDSG Kali Ke-3 tahun ini, iaitu bola jaring, bocce, badminton, futsal dan olahraga (kids athletics).

Kejohanan berkenaan berlangsung selama lapan hari, bermula 16 hingga 23 November 2026, dengan penyertaan seramai 690 atlet pelajar sekolah rendah dari enam kluster sekolah kerajaan di bawah kawalan Kementerian Pendidikan.

Penganjuran BDSG merupakan salah satu inisiatif Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Kokurikulum dalam usaha mencungkil dan mengembangkan bakat serta potensi pelajar dalam bidang sukan, di samping memperkukuh pembangunan sukan di peringkat sekolah.

Pada edisi kali ini, BDSG dikhususkan kepada penyertaan pelajar sekolah rendah, dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Khas selaku penganjur bersama bagi memperluas peluang penyertaan kepada pelajar berkeperluan khas dalam kejohanan tersebut.