Pasukan UKUR juara Kejohanan Bola Sepak 11 Orang Sepasukan

13 Nov 2026 - 6:41am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Kerja Raya

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 12 November. - Pasukan Jabatan Ukur (UKUR) muncul juara pada perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak 11 Orang Sepasukan Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan di Bawahnya bagi Tahun 2026 setelah menewaskan pasukan Jabatan Saliran dan Pembetungan (DDS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan keputusan 5 - 2.

Perlawanan akhir tersebut berlangsung pada 11 November 2026, di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, yang mempertemukan pasukan DDS selaku juara Kumpulan ‘A’ dan pasukan UKUR selaku juara Kumpulan ‘B’.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian piala dan hadiah, Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar.

Pasukan UKUR telah dinobatkan sebagai johan kejohanan, manakala pasukan DDS selaku naib johan. Sementara itu, tempat ketiga bersama telah disandang oleh pasukan Pejabat Ketua Pengarah (DG) dan Jabatan Perkhidmatan Teknikal (DTS), JKR.

Kejohanan Bola Sepak 11 Orang Sepasukan Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan di Bawahnya bagi Tahun 2026 telah bermula pada 14 September 2026 dan dianjurkan bersama oleh Jabatan Perkhidmatan Bangunan dan Jabatan Kemajuan, JKR.

Sebanyak 11 pasukan telah menyertai kejohanan tersebut yang dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu Kumpulan ‘A’ dan Kumpulan ‘B’.

Bagi peringkat separuh akhir pertama yang berlangsung pada 8 Oktober 2026, pasukan DDS berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir setelah menewaskan pasukan DTS dengan jaringan 9-0. Manakala dalam perlawanan separuh akhir kedua pada 10 Oktober 2026, pasukan UKUR berjaya menewaskan pasukan DG dengan jaringan 7-1.

Turut menerima Anugerah Penjaring Terbanyak dan Pemain Terbaik bagi kejohanan tersebut ialah Awang Safwan Amaluddin bin Sabli daripada pasukan UKUR, yang berjaya menjaringkan sebanyak 19 gol sepanjang kejohanan berlangsung.

Turut hadir menyaksikan perlawanan akhir berkenaan, Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, Dr. Chin Wei Keh; Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan serta para pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Kejohanan berkenaan bukan sahaja menjadi medan pertandingan sukan, malah turut menyediakan ruang kepada para pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan serta jabatan-jabatan di bawahnya untuk berinteraksi di luar persekitaran kerja.

Penglibatan dalam aktiviti seumpama tersebut dapat menyumbang kepada pembentukan warga kerja yang lebih aktif, berdisiplin dan mempunyai semangat kesukanan yang tinggi. Di samping itu, penyertaan daripada pelbagai jabatan memberi peluang untuk mengenal pasti pemain-pemain yang berpotensi serta mengembangkan bakat mereka bagi mewakili jabatan dan kementerian dalam pertandingan bola sepak pada masa akan datang.