Siaran Akhbar dan Foto : Ahli Jawatankuasa Pengurusan Panchor Murai U19
GADONG, Jumaat, 13 November. - Seramai 24 pemain muda telah mengesahkan secara rasmi untuk menyertai Kelab Bola Sepak Panchor Murai FC (PM FC) apabila menandatangani kontrak pemain bawah 19 tahun (U19) pada Majlis Penandatanganan Kontrak dengan PM FC berlangsung di Hit Space, Bangunan Forum, di sini.
Pemilik PM FC, Awang Jaafar bin Haji Osman berkata majlis berkenaan menjadi tirai penting kemajuan PM FC dan menjadi satu langkah penting dalam usaha kelab memperkukuh pembangunan bola sepak akar umbi serta menyediakan platform kepada pemain-pemain muda untuk mengembangkan bakat dan seterusnya menimba pengalaman dalam arena bola sepak yang lebih kompetitif.
"Penubuhan skuad U19 itu juga mencerminkan komitmen kelab bola sepak ini dalam melahirkan generasi pemain muda yang memiliki kemahiran teknikal dan kecergasan fizikal, malah turut mengamalkan disiplin, semangat berpasukan serta sikap profesional dalam sukan bola sepak," ujarnya.
Sementara itu, Ketua jurulatih U19 PM FC, Awang Mohd. Faizan Abd. Rahman berkata melalui ikatan kontrak tersebut, kesemua 24 pemain diharap dapat memanfaatkan peluang yang diberikan dengan menunjukkan kesungguhan, komitmen dan konsistensi sepanjang menjalani latihan serta menghadapi cabaran pertandingan.
Katanya lagi, inisiatif berkenaan turut menjadi sebahagian daripada perancangan jangka panjang kelab ini dalam membina kesinambungan pembangunan pemain, sekali gus membuka laluan kepada bakat-bakat muda untuk berpeluang diketengahkan ke peringkat skuad senior pada masa akan datang.
Bagi pihak pengurusan katanya, penandatanganan kontrak berkenaan akan menjadi titik permulaan kepada perjalanan baharu pemain-pemain U19 untuk terus berusaha, meningkatkan prestasi dan menjulang nama PM FC dengan jayanya.
Hadir pada majlis berkenaan bagi sama-sama memberi sokongan ialah Ketua Kampung Panchor Murai, Awang Moktal bin Haji Besar dan barisan pengurusan kelab serta ibu bapa pemain.
Skuad U19 PM FC yang kini membuat persiapan lawatan yang tersusun, dijangka akan menyertai Kejohanan Belia U19 anjuran Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD) pada tahun ini.