Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
SUNGAI KEBUN, Selasa, 10 November. - Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam Ke-V (SKBD Ke-V), Tahun 2026 diteruskan lagi hari ini bagi acara tarik kalat peringkat akhir yang diadakan di Kompleks Sukan Sungai Kebun, lewat petang tadi.
Perlawanan peringkat akhir tersebut mempertandingkan dua kategori iaitu Kategori ‘A’ Berat Badan Terkumpul 560 kilogram (kg) dan Kategori 'B' Berat Badan Terkumpul 720kg.
Bagi Kategori 'A', pingat emas diraih oleh Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB), Pasukan Daerah Belait mengutip pingat perak dan Majlis Sukan Pasukan Polis Diraja Brunei (MS PPDB) mendapat pingat gangsa.
Manakala bagi Kategori 'B', Pasukan Daerah Brunei dan Muara berjaya mengutip pingat emas; MS ABDB pingat perak dan pingat gangsa diraih oleh MS PPDB.
Pada acara itu, penyampaian pingat disempurnakan oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis, PPDB, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Dato Seri Pahlawan Haji Mohammed Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris yang juga berangkat selaku tetamu kehormat majlis.
SKBD merupakan kejohanan peringkat kebangsaan yang menjadi wadah menghimpunkan atlet daripada seluruh negara untuk bersaing dalam pelbagai acara sukan. Penganjuran SKBD pada tahun ini merupakan kali kelima sejak ia mula diperkenalkan pada 2012.Bertemakan ‘Bersama Mengejar Kegemilangan’, SKBD Ke-V menekankan semangat kebersamaan dalam mencapai kecemerlangan sukan melalui kerjasama, perpaduan dan semangat kesukanan.